PRN: Pemuda UMNO kemuka calon boleh menang, tawan hati rakyat

PRN: Pemuda UMNO kemuka calon boleh menang, tawan hati rakyat

DR. Muhammad Akmal Saleh (dua kiri) mengagihkan makanan kepada asnaf di hadapan pekarangan Pejabat UMNO negeri di Kota Bharu, Kelantan semalam.-UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan menampilkan calon bukan sahaja boleh menang malah mampu memikat hati rakyat sekaligus menjadikan parti itu sebagai pilihan untuk diundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, politik hari ini yang bersifat dinamik apabila golongan muda boleh memberikan menyokong kepada satu pihak, tetapi belum tentu mengundi kumpulan tersebut.

“Perkara itu berlaku pada PRN sebelum ini, semasa 22 bulan Pakatan Harapan (PH) apabila gabungan itu menang menang hampir semua Pilihan Raya Kecil (PRK) pada peringkat awal. Namun gelombang itu berubah dan akhirnya mereka (PH) tewas pada PRN di Melaka, Johor dan Sabah.

“Sebab itu, saya boleh nyatakan pengundi muda hari ini bijak menilai dan memilih parti yang mampu memberikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan makanan kepada golongan asnaf di pekarangan Bangunan Perhubungan UMNO negeri di sini semalam.

Dr. Muhammad Akmal memberitahu, senarai nama calon yang akan mewakili Pemuda UMNO pada PRN akan diketahui secara rasmi selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Katanya, perbincangan secara tidak rasmi mengenai isu kuota calon sudah diadakan dengan pucuk pimpinan atas parti dan menunjukan perkembangan positif.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Melaka itu berkata, kerjasama antara pihaknya dengan Pemuda PH berjalan dengan baik dalam suasana penuh harmoni selari dengan saranan kepimpinan tertinggi parti.

“Kita tidak boleh terlalu ekstrimis dan Pemuda UMNO sentiasa dalam keadaan ‘moderate’ atau pertengahan menjadikan lebih mudah untuk berbincang dengan mana-mana pihak. 

“Situasi itu memberi impak positif yang bagus. Pada masa sama, saya akui politik hari ini memberikan cabaran besar buat Pemuda UMNO untuk menarik sokongan orang muda.

“Beberapa formula telah kenal pasti termasuk isu tempatan dan negara yang akan diketengahkan nanti. Kali ini saya nak bagi tahu pemuda akan tampil dengan kelainan dengan lebih banyak menjuarai isu rakyat ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN