Pesawat TUDM jalan operasi pembenihan awan - Utusan Malaysia

Pesawat TUDM jalan operasi pembenihan awan

OPERASI pembenihan awan akan dijalankan di kawasan Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang yang menyusut susulan kurang taburan hujan di kawasan berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjalankan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air di Pulau Pinang akhir bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, pesawat TUDM itu berkemungkinan berlepas dari Pangkalan Udara Subang, Selangor dan aturan sedang dibuat untuk wakil PBAPP menyaksikan sendiri operasi tersebut.

Jelas beliau, PBAPP akan melaporkan hasil daripada gelombang pertama operasi pembenihan awan yang berkaitan dengan status empangan.

”Ia akan mengambil masa beberapa hari selepas misi pembenihan awan TUDM dijalankan untuk hujan berlaku dan air hujan mengalir ke empangan.

”Bergantung kepada keputusan dan keadaan, PBAPP juga boleh memohon peruntukan tambahan daripada kerajaan negeri untuk membiayai gelombang kedua operasi pembenihan awan tambahan bagi menambah rizab empangan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengesyorkan jangka masa dari 29 April hingga 7 Mei untuk gelombang pertama operasi yang akan dijalankan di Pulau Pinang bagi tahun ini.

”Keadaan cuaca harus sesuai untuk memaksimumkan kesan operasi pembenihan awan.

”Objektif utama adalah untuk mendorong hujan lebat di kawasan tadahan air Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, hujan lebat diperlukan untuk mengisi semula empangan ini dengan air mentah sebanyak mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, setakat 24 April lalu, kapasiti Empangan Air Itam merekodkan paras 44.8 peratus manakala Empangan Teluk Bahang berada pada paras 48.6 peratus.

Jelasnya, kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang menyusut masing-masing sebanyak 37.7 peratus dan 15.4 peratus sejak 1 Januari lalu disebabkan hujan yang rendah di kawasan tadahan air dan permintaan air yang tinggi tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya