ALOR GAJAH: Perkembangan terkini siasatan dalaman melibatkan insiden kematian seorang anggota Tentera Darat, Koperal Mohammad Nasri Mohd. Nasib yang ditemukan maut di Hutan Simpan Belum, Perak bakal dibentangkan dalam Mesyuarat Pasca Kabinet, Rabu ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, setakat ini laporan siasatan telah siap lebih 50 peratus dan pihaknya menjangkakan laporan penuh bakal diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi.
Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan akan memastikan kebajikan waris Allahyarham terutama isteri, Nurhayatul Husna, 30, serta anaknya, Muhammad Aakif Rizqi, 4, dan Nur Afifah Raisha, 2, mendapat pembelaan sewajarnya termasuk soal pendidikan mereka.
“Siasatan masih berjalan dan selalunya laporan daripada siasatan ini akan dibawa dalam Mesyuarat Pasca Kabinet, biasanya kita akan ada mesyuarat berkenaan setiap hari Rabu petang.
“Jadi pada hari Rabu ini, kita akan dapat sedikit laporan tetapi dalam tempoh dua minggu ini, selepas hari raya kita yakin laporan penuh akan dapat diperoleh,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Parlimen Alor Gajah di sini, petang semalam.
Pada 12 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan, kehilangan anggota tentera berpangkat Koperal di Hutan Simpan Belum sejak 7 April terjawab, apabila dia ditemukan meninggal dunia.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mayat mangsa berusia 33 tahun itu dijumpai pukul 10.15 pagi.
Mangsa yang berkhidmat di Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman hutan berkenaan.
Kehilangan mangsa disedari selepas dia bersama lima rakan setugas sedang menjalankan operasi di kawasan penugasan pada pukul 5 petang pada hari kejadian. – UTUSAN