REMBAU: Nasib sebuah keluarga yang ditimpa musibah kebakaran rumah dalam kejadian di Kampung Tanjong, Gadong, di sini semalam mendapat perhatian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri melalui Setiausaha Politiknya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin telah menyampaikan bantuan kewangan kepada keluarga berkenaan petang tadi.
Shamsul Iskandar berkata, bantuan tersebut adalah bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga bekas imam, Abd. Rahaman Che The, 73, apatah lagi kejadian tersebut berlaku ketika umat Islam menyambut Aidilfitri.
“Keluarga ini berdepan ujian hebat, saya mewakili Perdana Menteri merakamkan ucapan takziah dan tentunya kami hadir bagi menunjukkan rasa simpati serta menyampaikan sumbangan bagi membantu meringan beban keluarga ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Sumbangan tersebut disampaikan Shamsul Iskandar kepada anak Abd. Rahaman, Muhammad Al-Hafiz, 35.
Turut menyampaikan sumbangan Kerajaan Persekutuan ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang diwakili oleh Setiausaha Politik beliau, Datuk Ton Zalani Mat Darus.
Sementara itu, Muhammad Al-Hafiz Hafiz berterima kasih kepada Perdana Menteri yang prihatin dengan nasib yang menimpa mereka sekeluarga.
“Kami sangat bersyukur dan berterima kasih atas kesudian beliau membantu kami,” katanya.
Keluarga berkenaan ketika ini tinggal sementara di rumah bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang turut terletak di kampung berkenaan.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan sebuah keluarga berdepan detik cemas selepas rumah mereka terbakar dan musnah sekelip mata dalam kejadian di Kampung Tanjung, Gadong di sini malam semalam.
Abd. Rahaman berkata, kebakaran melibatkan rumah pusaka arwah isterinya itu berlaku kira-kira pukul 7.28 malam dan dia yang ditemani anak, menantu dan cucu yang seramai 13 orang bergegas keluar dari rumah tersebut ekoran api merebak begitu cepat.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota, Penolong Bomba Kanan 1, Mokhtar Ahmad pula berkata, pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengawal kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal dengan keluasan 100×40 kaki persegi.
Jelasnya, kebakaran dipercayai berpunca dari bilik stor dan dianggarkan rumah berkenaan musnah terbakar sebanyak 90 peratus.-UTUSAN.