Peniaga bazar Aidilfitri tidak benar beroperasi pada malam 1 Syawal  - Utusan Malaysia

Peniaga bazar Aidilfitri tidak benar beroperasi pada malam 1 Syawal 

SUASANA di salah sebuah bazar Aidilfitri yang beroperasi di Kuala Terengganu. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Peniaga bazar Aidilfitri di Terengganu tidak dibenarkan beroperasi pada malam 1 Syawal selaras dengan syarat permit yang dikeluarkan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Alias Razak berkata, seramai 4,102 peniaga di bazar Aidilfitri di seluruh negeri ini akan berhadapan dengan tindakan disenarai hitam sekiranya gagal mematuhi syarat tersebut.

Menurut beliau, larangan itu dibuat bagi memastikan kawasan bandar raya Kuala Terengganu dan daerah-daerah lain berada dalam keadaan bersih atau sifar sampah-sarap menjelang 1 Syawal.

“Aktiviti membeli-belah di bazar Aidilfitri didapati semakin rancak tetapi kerajaan negeri mengeluarkan permit berniaga sehingga pukul 12 malam, 29 Ramadan sahaja iaitu Khamis.

“Jika 1 Syawal jatuh pada Sabtu, maka tiada operasi bazar dibenarkan pada Jumaat atau malam raya. Ini bagi memberi laluan kerja-kerja pembersihan dijalankan secepat mungkin.

“Peniaga yang melanggar permit ini akan dikompaun serta disenarai hitam bagi permohonan bazar pada tahun akan datang,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak 222 notis telah dikeluarkan kepada peniaga di bazar Ramadan di negeri ini atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan Akta Makanan 1982 (Akta 281) sehingga 14 April lalu.

Katanya, kesalahan paling banyak dikesan adalah tidak memakai apron (113), tidak menjaga kebersihan diri (49), tiada latihan kendali makanan (35), menggaji pekerja tanpa suntikan (14) dan lain-lain 11 kes.

Alias menjelaskan, jumlah kompaun di seluruh Terengganu pula dianggarkan berjumlah RM24,800.

“Selain daripada itu juga, sebanyak 69 sampel makanan telah dianalisis dengan lapan daripadanya didapati mempunyai perlanggaran iaitu positif pencemaran bakteria.

“Walaupun tiada kes keracunan makanan yang serius, pengguna dinasihatkan berhati-hati memilih premis di bazar Ramadan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya