Pengasuh menangis didakwa abai kanak-kanak perempuan - Utusan Malaysia

Pengasuh menangis didakwa abai kanak-kanak perempuan

NOR HUZAIMAH HERMAN didakwa atas tuduhan mengabaikan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pengasuh menangis teresak-esak apabila dihadapkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak asuhannya berusia tiga tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di Taman Pelangi Indah, bulan lalu.

Tertuduh, Nor Huzaimah Herman, 31, mengakui tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, suri rumah itu didakwa mengabaikan seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah, Taman Pelangi Indah, di sini kira-kira pukul 11.30 pagi, 21 Mac lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Syafiqah Sha’ari dan Nurhayati Muhammad Fathullah, manakala tertuduh diwakili peguam bela, R. Sangaran dan Allan Lim.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin memandangkan kesalahan di bawah seksyen itu tidak boleh dijamin, namun mencadangkan satu jumlah jaminan yang tinggi iaitu RM15,000 sekiranya mahkamah ingin membenarkan tertuduh diikat jamin.

Walau bagaimanapun, Sangaran memohon mahkamah membenarkan jaminan yang minimum terhadap anak guamnya  dengan alasan wanita itu mempunyai empat anak yang masih bersekolah, manakala suaminya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di Balai Polis Pelangi Indah setiap bulan serta menetapkan 3 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat dan laporan kimia.

Semalam tular satu hantaran dalam Facebook dimuat naik pemilik akaun ‘Nor Huzaimah Herman Emma’ yang dipercayai adalah tertuduh memohon bantuan warganet mengumpulkan dana bagi membayar ikat jamin di mahkamah.

Wanita itu turut menceritakan kisahnya menjaga dua beradik yang juga anak kepada seorang wanita berasal dari Sabah sejak November lalu yang dianggap seperti anak sendiri dan seorang daripadanya, iaitu mangsa dalam kes berkenaan didakwa cedera dihempap basikal pada 21 Mac lalu, namun dilaporkan meninggal dunia seminggu kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN