MERSING: Seorang pemuda maut selepas kereta dipandu bertembung dengan sebuah kereta BMW yang disyaki hilang kawalan di Kilometer 48, Jalan Kota Tinggi-Mersing hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu menyebabkan mangsa, Syed Muhammad Nazirul Syed Khalid, 26, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Abdul Razak Abdullah Sani berkata, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila kereta BMW dari arah Johor Bahru menghala ke Mersing hilang kawalan, lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Persona dipandu mangsa.
“Akibat kemalangan ini, pemandu Proton Persona, seorang lelaki warga tempatan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian badan.
“Sementara itu, pemandu BMW seorang lelaki warga tempatan berumur 44 tahun pula hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 serta penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, berhemah dan mematuhi undang-undang serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan. – UTUSAN