SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan FC memperoleh kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super apabila menewaskan Kelantan FC dengan keputusan 4-2 dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini malam ini.
Perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan namun tuan rumah terlebih mendahului pada minit ke-15.
Ia menerusi rembatan Mahali Jasuli dari luar kotak penalti sekali gus menewaskan penjaga gol Kelantan, Nik Mohd. Amin Ahmad.
Namun pelawat menyamakan kedudukan, menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Ismaheel Akinade pada minit ke-35.
Dua minit kemudian, skuad Jang kembali mendahului hasil tandukan Herold Mark Goulon yang menerima hantaran daripada Mahali.
Memasuki separuh masa kedua, Kelantan kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-53, sekali lagi menerusi sentuhan Akinade yang menanduk masuk bola ke gawang tuan rumah yang dikawal oleh Mohd. Muhaimin Mohamad.

Tidak mahu berkongsi mata, Negeri Sembilan melancarkan serangan bertali arus dan hasilnya mereka memperoleh gol ketiga hasil jaringan penyerang, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang menyudahkan tandukan hantaran penyerang import dari Brazil, Casagrande pada minit ke-75.
Pada minit ke-88, gandingan kedua-dua pemain ini sekali lagi menjadi dan kali ini giliran Casagrande pula menyudahkan hantaran Shahrel Fikri untuk gol keempat tuan rumah.
Sehingga tamat perlawanan, kedudukan kekal dengan keputusan 4-2 memihak Negeri Sembilan sekali gus tiga mata diperoleh pasukan berkenaan.
Selepas lima perlawanan, Negeri Sembilan kini memperoleh lapan mata manakala Kelantan kekal dengan empat mata selepas mengharungi enam perlawanan.-UTUSAN.