REMBAU: Rasa curiga penduduk berhubung ketiadaan seorang warga emas termasuk sewaktu solat tarawih di masjid membawa kepada penemuan mayat warga emas berkenaan di rumahnya di Kampung Masjid Selemak, di sini, pagi tadi.
Warga emas berkenaan, Zulkarnain Alias, 66, ditemukan di ruang tamu rumah dan disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik pada pukul 11.30 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati seorang lelaki terbaring di ruang tamu rumah dalam keadaan berpakaian lengkap dan telah berulat di bahagian kepala dan kaki.
“Warga emas berkenaan disyaki telah meninggal dunia sejak seminggu yang lalu. Mayat telah dibawa keluar dari rumah dan dihantar ke Hospital Rembau untuk proses bedah siasat.
“Kes diteruskan siasatan dan menunggu hasil bedah siasat yang akan dijalankan hari ini. Menurut waris, si mati merupakan pesakit strok sejak 20 tahun yang lalu dan turut mengalami masalah pendengaran selain sakit kencing manis dan darah tinggi.
“Kali terakhir waris ke rumah si mati iaitu pada 1 April lalu, warga emas itu dalam keadaan sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, jiran warga emas berkenaan, Mohd. Zura Idris, 67, berkata, dia mulai berasa tidak sedap hati apabila tidak nampak kelibat warga emas berkenaan namun beranggapan kemungkinan warga emas berkenaan pergi ke rumah adik beradiknya yang lain.
“Tetapi dua tiga hari ini saya terhidu bau busuk dan memaklumkan pada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Selemak, Mohd. Izal Ibrahim, 41, untuk meninjau ke rumah dan kemudian ternampak si mati dalam keadaan terbaring dengan beberapa bahagian badan termasuk muka sudah berulat,” katanya.-UTUSAN.