Lelaki Malaysia alami masalah kesuburan

Lelaki Malaysia alami masalah kesuburan

BANYAK pasangan kini memilih mengehadkan jumlah anak berikutan peningkatan kos sara hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masalah ke­suburan dalam kalangan lelaki di negara ini pada tahap membimbangkan, menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ujian analisis sperma lelaki dari makmal Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati 60 peratus keputusan yang dijalankan didapati abnormal.

Timbalan Menteri Pemba­ngunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, antara faktor menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan tersebut ialah perubahan gaya hidup.

HAD ANAK

“Kos sara hidup tinggi menyebabkan pasangan mengambil keputusan mengehadkan jumlah anak, peningkatan bila­ngan wanita berpendidikan, penyertaan wanita dalam tenaga buruh selain lewat berkahwin sehingga memendekkan tempoh reproduktif.

“Ia turut menyumbang kepada peningkatan masalah ke­­suburan dalam pasangan ber­kahwin,” katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Negara.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai tentang tindakan kementerian dalam menghadapi penurunan kadar kelahiran di negara ini.

Justeru, LPPKN mula mewujudkan Klinik Kesejahteraan Lelaki pada Oktober 2022 di Klinik Subfertiliti Kuala Lumpur dan pada tahun ini, ia diperluaskan ke enam lagi klinik LPPKN di Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Klinik ini menawarkan ujian saringan kesihatan lelaki, khid­mat nasihat masalah seksual dan amalan gaya hidup sihat serta rawatan ubat untuk membantu meningkatkan kesuburan lelaki, memandangkan masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki semakin meningkat.

CUKAI

Kerajaan juga meneruskan inisiatif kepada pasangan dalam mendapatkan rawatan kesubu­ran seperti pengecualian cukai bagi rawatan kesuburan sehingga RM6,000, Program Bantuan Subsidi Rawatan Permanian Beradas manakala kemudahan tuntutan penjawat awam daripada majikan bagi perbelanjaan rawatan kesuburan masih berkuat kuasa.

Bagaimanapun, Aiman mengakui mengenai Kadar Kelahiran Kasar di Malaysia telah menunjukkan trend penurunan sejak lebih 40 tahun lalu, meliputi Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) yang merujuk kepada purata bilangan anak yang dilahirkan oleh seorang wanita umur reproduktifnya (umur 15 hingga 49 tahun).

Katanya, menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, TFR negara turut menurun daripada 4.0 pada 1980, kepada 2.1 pada 2010 dan seterusnya 1.7 orang anak bagi setiap wanita pada 2021.

“Berdasarkan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia peringkat nasional yang dilaksanakan oleh LPPKN setiap 10 tahun sejak 1974, peratusan wanita berkahwin yang tidak mempunyai anak di negara ini telah meningkat hampir 2 peratus dalam tempoh 10 tahun, iaitu daripada 6.8 peratus pada tahun 2004 kepada 8.6 peratus pada 2014.

“Trend ini akan terus dipantau melalui kajian yang akan dilaksanakan pada 2024,” katanya.

Sehingga kini, hampir 6,000 kehamilan telah direkodkan dan 4,000 kelahiran bayi di klinik subfertiliti LPPKN di Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN