Lelaki keluar kata-kata lucah terhadap wanita ditahan polis - Utusan Malaysia

Lelaki keluar kata-kata lucah terhadap wanita ditahan polis

TANGKAP layar video seorang lelaki yang didakwa mengeluarkan kata-kata lucah terhadap seorang wanita di hadapan sebuah restoran di Port Dickson baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata lucah terhadap seorang wanita seperti yang tular dalam media sosial telah ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan berhubung kejadian tersebut selepas pihak polis menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang wanita lebih kurang pukul 3.40 petang tadi.

“Hasil saringan awal urin suspek adalah negatif. Suspek tiada rekod kesalahan lampau dan kini ditahan di lokap Balai Polis Port Dickson untuk siasatan lanjut.

“Pihak polis mengesahkan telah menerima satu laporan polis daripada mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mengaibkan kehormatan serta mengeluarkan perkataan tidak sopan di khalayak awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aidi Sham, terdahulu lebih kurang pukul 9.22 pagi tadi telah terkesan sebuah video berdurasi 34 saat yang memaparkan seorang individu menghalang sebuah kereta keluar dari tempat meletak kenderaan sambil mengeluarkan kata-kata lucah terhadap seorang wanita.

Aidi Sham berkata, kejadian tersebut berlaku lebih kurang pukul 6.30 petang semalam di hadapan sebuah bangunan di Bandar Springhill di sini.  

Beliau berkata, pihak polis ingin menasihatkan orang awam agar tidak mencetuskan kegusaran awam dengan menularkan video tersebut serta memberikan komen-komen yang boleh menggugat ketenteraman awam. 

“Perbuatan penyebaran yang tidak bertanggungjawab sedemikian adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya