BACHOK: Seorang lelaki yang dikhuatiri hilang selama 20 jam ketika memukat ikan ditemukan lemas di kawasan pesisir Pantai Telong, di sini sebentar tadi.
Mayat Mohamad Azwan Mohd. Azman, 28, ditemukan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan yang melakukan rondaan di kawasan pesisir pantai pada pukul 3.20 petang.
Sebelum itu, Mohamad Azwan dihanyutkan arus ombak pada pukul 7 malam semalam.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, mayat mangsa ditemukan pada jarak 1.4 kilometer (km) dari lokasi kejadian selepas dihanyutkan oleh ombak.
“Ketika membuat rondaan, anggota APMM melihat sesuatu berwarna hitam terapung pada jarak 10 meter dari pesisir pantai sebelum menarik mangsa ke daratan.
“Pengecaman dan pengesahan telah dibuat oleh adik mangsa, Muhammad Ashraf Mohd. Azman, 24, di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Khairun Dalilah memberitahu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu untuk dibedah siasat. –UTUSAN