PETALING JAYA: Skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menggantikan skim pencen sekiranya ia merupakan isu utama doktor kontrak tidak boleh diserap ke jawatan tetap.
Wakil Hartal Doktor Kontrak (HDK) yang tidak mahu dikenali berkata, pihaknya sudah mencadangkan penyelesaian ini sejak Julai 2021 kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Tetapi jawapan mereka (KKM) adalah ‘kalau nak tukar kepada KWSP kena ubah Akta Pencen terlebih dahulu dan perkara ini memerlukan kelulusan Parlimen’.
“Hampir dua tahun selepas itu, isu yang sama dibincangkan tanpa sebarang kemajuan dan sampai sekarang masih tidak diusulkan di Parlimen lagi.
“Takkan perbincangan baru akan dimulakan, jadi bila keputusan akan diambil dan dibentang ke Parlimen? Berapa tahun lagi akan mengambil masa untuk melaksanakan perkara ini?
“Bagaimanapun, kita sambut baik pengumuman menteri dan diharap akan dilaksanakan cepat dan bukan hanya cakap kosong semata-mata untuk menghalang mogok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya sedang menangani bebanan tugas yang melebihi kapasiti sumber sedia ada serta mengurangkan beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini yang mencecah RM 29.1 billion pada 2021.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Muruga Raj Rajathurai turut mengalu-alukan jawatan tetap tanpa pencen untuk doktor kontrak dan digantikan dengan caruman KWSP.
“MMA pernah mencadangkan perkara ini kepada KKM pada 2019 apabila berunding untuk mendapatkan lebih banyak jawatan tetap untuk doktor kontrak.
“Kami faham bahawa skim pencen adalah beban yang berat tetapi dana untuk persaraan mesti dilakukan juga walau apa cara sekalipun,’’ katanya. – UTUSAN










