KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menjadi wakil agensi itu untuk melakukan kerja-kerja bancian bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Pengarahnya, Said Sidup berkata, kerja-kerja tersebut akan dilakukan sendiri oleh kakitangan yang lengkap memakai ‘vest’ berwarna oren milik agensi berkenaan.
“Selain ‘vest’, kakitangan JKM turut dibekalkan dengan kad perakuan sebagai petugas. Sekiranya orang ramai ditangi oleh individu yang mendakwa sebagai kakitangan JKM boleh meminta mereka supaya mengemukan kad perakuan.
“Bukan itu sahaja, mereka boleh menghubungi pejabat JKM terdekat untuk membuat semakan berhubung dengan kakitangan tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas diminta mengulas isu penipuan melibatkan individu yang menyamar sebagai kakitangan agensi di sini hari ini.
Said memberitahu, sehubungan dengan itu orang ramai diminta supaya berwaspada dan tidak mudah mempercayai individu yang menyamar sebagai kakitangan JKM jika wujud keraguan.
Katanya, mereka yang mempunyai maklumat berkait dengan perkara itu diminta menghubungi polis untuk tindakan selanjut.
Utusan Online semalam melaporkan, seorang warga emas kerugian RM6,300 selepas diperdaya wanita yang menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan menyerahkan barang kemas miliknya dalam kejadian di Kampung Lawar, Jeli.
Kejadian pukul 3.30 petang itu berlaku semasa warga emas berusia 73 tahun dan suami, 83, sedang berehat di luar rumah sebelum didatangi oleh seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai JKM dari Tanah Merah.
Menantu kepada pasangan warga emas yang mahu dikenali sebagai Zali, 51, berkata, pegawai JKM berusia 40-an itu menjejaskan kedatangannya untuk membuat bancian bagi memberikan bantuan.
Menurutnya, pegawai JKM itu kemudian menawarkan bantuan bulanan berjumlah RM500 dan sebuah rumah baharu kepada warga emas.-UTUSAN