JDT ratah Kedah 6-0 - Utusan Malaysia

JDT ratah Kedah 6-0

PENYERANG JDT, Fernando Forestieri meraikan gol jaringannya pada perlawanan Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Harimau Selatan terus buas mempamerkan kuasa apabila meratah skuad Kenari 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, JDT menunjukkan penguasaan dari minit pertama dengan melakukan gerakan bagi meruntuhkan benteng pertahanan skuad Kenari.

Pada minit ke-10, Matthew Davies melakukan hantaran jauh mencari Arif Aiman Hanapi di sayap kanan yang mẹmbuat hantaran ke dalam kotak penalti mencari Bergson Da Silva namun gagal disudahkan mesin gol itu.

Bergson sekali lagi mendatangkan cemas kepada pasukan pelawat apabila berjaya menggelecek pertahanan terakhir, namun penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi tangkas keluar dari posisi mengeluarkan bola dari zon bahaya.

Pasukan kendalian Nafuzi Zain dilihat terpaksa bekerja keras bagi mengekang kemaraan penyandang juara yang menyerang dari pelbagai sudut bagi memburu gol pembukaan pada babak pertama.

PENYERANG JDT, Arif Aiman Hanapi terjatuh diasak pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Benteng KDA FC akhirnya runtuh pada minit ke-23 berpunca daripada sepakan penjuru diambil Juan Muniz mencari Feroz Baharudin yang menanduk ke belakang dan disudahkan Fernando Forestieri melepaskan rembatan dari jarak dekat.

Forestieri berada pada prestasi terbaik setelah meledak gol ketujuh pada musim ini apabila meledak tujuh gol daripada lapan perlawanan setakat ini.

Tersentak dengan jaringan itu, pasukan pelawat cuba mengatur gerakan bagi mencari gol penyamaan, namun tidak berjaya menghasilkan peluang berbahaya ke arah gawang JDT.

Peluang terbaik Sang Kenari hadir pada minit ke-33 menerusi percubaan Willian Lira Sousa, namun rembatan dari luar kotak penalti itu sedikit terkeluar dari pintu gol lawan.

Ketiadaan beberapa pemain utama menyebabkan KDA FC gagal menyaingi kekuatan Harimau Selatan dan mencipta peluang bagi menggugat benteng pertahanan JDT.

Bersambung babak kedua, kealpaan pasukan KDA FC dihukum pasukan JDT yang melebarkan kedudukan, sekali gus melunturkan semangat juang pasukan lawan.

Kenduri gol Harimau Selatan bermula dengan jaringan Feroz yang berpunca daripada sepakan sudut apabila tandukan pemain pertahanan tengah itu berjaya menewaskan Kalamullah pada minit ke-48. 

PENJAGA gol Kedah Darul Aman FC, Kalamullah Al Hafiz cuba menyelamatkan bola dari penyerang JDT, Bergson Da Silva pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Selang dua minit kemudian, giliran Oscar Arribas pula memahatkan nama dalam senarai penjaring setelah melepaskan rembatan dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol Kenari pada minit ke-50.

Pada minit ke-52, JDT terus menambah derita pasukan lawan apabila mencipta jaringan setelah pengadil permainan menghadiahkan sepakan penalti buah pasukan kendalian Esteban Solari setelah Bergson dijatuhkan Akmal Zahir.

Penyerang kelahiran Brazil yang baru sembuh daripada  kecederaan itu tidak berdepan masalah untuk menghukum pasukan lawan bagi melebarkan jaringan pada minit ke-52. 

JDT sekali lagi dihadiahkan penalti kira-kira 10 minit kemudian setelah Arif Aiman diterjah Azrin Afiq Rusmini.

Hasrat Forestieri untuk mengambil sepakan penalti seperti yang dilakukan legenda bola sepak Belanda, Marco Van Basten dengan mengumpan hantaran pendek kepada Arif Aiman tidak kesampaian apabila dibatalkan pengadil perlawanan.

Persembahan skuad Kenari terus menjadi serba tidak kena apabila juara Liga Super sembilan kali itu terus bermaharajalela mendominasi permainan dan semakin buas memburu jaringan.

Pada minit ke-76, Arif Aiman menghukum benteng pertahanan lawan meledak gol kelima perlawanan ketika pasukan pelawat sudah tidak lagi berupaya mengekang kemaraan Harimau Selatan.

Leandro Velazquez yang dimasukkan babak akhir permainan melengkapkan pesta gol JDT apabila meledak gol terakhir permainan membolehkan pasukan tuan rumah membelasah skuad Kenari di Stadium Sultan Ibrahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya