Henti kerja libat penutupan jalan sempena Aidilfitri di Kuantan - Utusan Malaysia

Henti kerja libat penutupan jalan sempena Aidilfitri di Kuantan

HAMDAN Hussin (tengah) dan Salehuddin Ishak (kiri) ketika melakukan tinjauan pembukaan Jalan Teluk Sisek di Kuantan, Pahang yang dibuka sepenuhnya kepada pengguna selepas ditutup hampir tiga tahun bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembentungan. - FOTO/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semua kerja melibatkan penutupan jalan akan dihentikan dalam tempoh tertentu bagi memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya di daerah ini menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Datuk Hamdan Hussin berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada pihak kontraktor serta pihak yang terlibat dengan Rangkaian Projek Pembentungan Bandar Kuantan berkaitan perkara terbabit.

Katanya, pihaknya juga sudah mengingatkan kepada pihak terlibat untuk mengurangkan saiz penutupan jalan dengan membuka laluan yang lebih besar dan banyak kepada pengguna sepanjang tempoh terbabit.

“Sebagai contoh penutupan jalan besar di hadapan pasaraya MegaMall yang menutup hampir tiga laluan. Kita sudah maklum kepada mereka apabila hampir raya, perlu dibuka laluan yang lebih banyak untuk keselesaan pengguna.

“Begitu juga di beberapa laluan di dalam bandar Kuantan termasuk laluan dan Jalan Pak Mahat,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan pembukaan semula Jalan Teluk Sisek di sini hari ini.

Dalam pada itu Hamdan berkata, Jalan Teluk Sisek akhirnya dibuka untuk laluan pengguna daerah ini selepas ditutup hampir tiga tahun berikutan kerja-kerja pembinaan pembentungan bandar Kuantan.

“Ia adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh pengguna dan kita sangat prihatin dengan ketidakselesaan pengguna sepanjang tempoh hampir tiga tahun ia ditutup bagi memberi laluan untuk pelaksanaan kerja-kerja pembentungan.

“Projek pembentungan ini penting untuk mewujudkan sebuah bandar lestari dan kita akan pastikan sistem pembentungan ini mampu menghasilkan air yang bersih untuk rakyat dan Kita bertuah sebenarnya kerana Pahang dipilih oleh kerajaan Pusat bagi pelaksanaan projek ini.

“Kita tahu dalam tempoh pelaksanaan projek ini terdapat beberapa gangguan terutama di jalan-jalan utama dan kita juga tahu kesukaran dan isu dihadapi warga Kuantan justeru untuk memastikan jalan Teluk Sisek ini dibuka sebagaimana dijanjikan, kita sudah membuat pemantauan 24 jam terutama pada saat-saat akhir bagi memastikan pembukaan jalan ini sebagaimana dijanjikan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga akan terus memantau keseluruhan kerja-kerja menaik taraf secara kekal selain memberi jaminan tiada lagi penutupan jalan di Jalan Teluk Sisek terbabit.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak pula berkata, kerajaan negeri sedang mempertimbakan pelaksanaan Fasa 2 Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Projek Pembentungan Bandar Kuantan membabitkan kawasan Indera Mahkota di sini.

“Jika ia mendapat kelulusan, beberapa syarat tambahan akan dibuat agar pengurusannya dapat ditambah baik antaranya, tiada lagi ‘interchange’ yang besar di tengah jalan selain pihak pemaju perlu memastikan kawalan trafik yang lebih baik di kawasan terbabit.

“Kita juga tidak membenarkan penutupan jalan pada waktu puncak kerana melibatkan kos kepada orang awam. Kita juga minta dipastikan laluan dibuka dua hala bagi sepanjang masa,” katanya.

Projek Pembetungan Kuantan merupakan sebuah projek Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perkhidmatan Pembetungan yang bertujuan menambahbaik sistem pembetungan di kawasan tadahan Bandar Kuantan dan Kempadang.

Difahamkan, kos keseluruhan bagi Fasa 1 projek itu membabitkan sejumlah RM570 juta dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya