PETALING JAYA: Tawaran pembiayaan peribadi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merisikokan hutang isi rumah pencarum meningkat sehingga 90 peratus.
Setakat Disember 2021, dilaporkan peratusan hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada kadar 89 peratus yang didorong oleh pinjaman kenderaan dan perumahan.
Justeru, dengan mekanisme pinjaman baharu FSA2 tersebut dibimbangi hutang isi rumah bertambah kerana pencarum ‘berebut’ membuat pinjaman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, tawaran pembiayaan FSA2 dikhuatiri menjerat kehidupan rakyat lebih parah.
Menurut beliau, situasi terkini setiap isu rumah sudah terbeban dengan hutang sedia ada malah diburukkan lagi apabila berlaku peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tiga kali berturut-turut pada tahun lalu.
PELUANG
“Dengan kemudahan FSA2 ia seperti memberi peluang isi rumah menambah hutang daripada hutang sedia ada jadi bagaimana isu rumah mahu menyelesaikan masalah kewangan masing-masing.
“Tidak mustahil dengan tawaran tersebut boleh mengheret pencarum dihimpit masalah kewangan sepanjang hayat,” kata beliau.
Selain itu, kata Rosland, kemungkinan tawaran FSA2 tidak banyak membantu rakyat kerana kelulusan pinjaman mungkin berdasarkan rekod kredit pencarum yang baik sahaja diluluskan.
“Kalau tengok Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) atau CTOS lebih ramai ahli pencarum mungkin gagal buat pinjaman kerana banyak pencarum ada rekod kredit tidak cantik.
“Saya rasa kalau 10 orang memohon, mungkin empat sahaja lulus,” kata beliau.
Kelmarin KWSP dalam kenyataan memaklumkan mekanisme FSA2 adalah kemudahan membantu pencarum mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan bakal dilaksanakan menerusi dua fasa bermula 7 April ini.
NOTIS
Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP warga Malaysia bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk pengeluaran umur 50 tahun atau 55 tahun dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.
Jumlah pembiayaan maksimum RM50,000, tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.
Sehubungan itu, Rosland berkata, pihaknya lebih memilih untuk kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP secara bersasar demi membantu rakyat menyara keluarga dan kehidupan khususnya dalam kalangan B40 dan M40.
“Simpanan merupakan hak pencarum, jadi lebih baik disalurkan sahaja kepada mereka yang terdesak berbanding suruh mereka buat hutang lagi,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, meskipun kemudahan itu menawarkan kadar faedah antara empat hingga lima peratus, namun secara tidak langsung membuka peluang kepada rakyat untuk berhutang untuk mendapat pinjaman.
Menurut beliau, hutang isi rumah bakal meningkat sekiranya para pencarum mengambil langkah memohon pembiayaan FSA2 iaitu tambahan pembiayaan sedia ada seperti pinjaman peribadi, perumahan dan kenderaan.
“Keberangkalian untuk tambah rakyat berhutang amatlah tinggi dengan kemudahan pembiayaan ini, apatah lagi jumlah muflis dalam kalangan rakyat masih tinggi.
“Namun banyak persoalan perlu dijelaskan KWSP iaitu adakah sama ada peminjam gagal bayar dalam tempoh ditetapkan, duit simpanan KWSP juga sama terkesan memandangkan diletakkan syarat permohonan dengan mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka,” katanya. – UTUSAN










