MELAKA: Seorang duda menemui ajal selepas terjatuh dari tingkat sembilan dalam kejadian di Blok D Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di sini, kira-kira pukul 5.55 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mayat mangsa, Lim Yew Chang yang juga penganggur berusia 45 tahun ditemui penduduk di atas bumbung tingkat dua pangsapuri berkenaan.
Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati, tiada sebarang unsur jenayah ditemukan dan pihaknya percaya mangsa terjatuh dari tingkat sembilan memandangkan rumahnya berada di aras itu.
“Aduan daripada orang awam diterima pukul 5.55 petang oleh Balai Polis Tanjung Minyak. Mereka melaporkan terdapat seorang lelaki berbangsa Cina terjatuh dari tingkat sembilan Blok D PPR Krubong dan disahkan telah mati di atas bumbung tingkat dua.
“Mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan dan bahagian muka. Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, Pegawai Bomba Kanan II Jamian Saleh berkata, seramai enam anggota menyelamat digerakkan ke lokasi bagi membawa turun mayat mangsa.
“Bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk menurunkan mangsa yang disahkan meninggal dunia dari bumbung di tingkat 2 PPR Krubong,” katanya. – UTUSAN