Dua warga Indonesia larikan diri berjaya ditahan semula - Utusan Malaysia

Dua warga Indonesia larikan diri berjaya ditahan semula

DUA lelaki warga Indonesia, Riki Rinaldi (kiri) dan Samirudin berjaya ditahan semula oleh pihak berkuasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua tahanan yang melarikan diri ketika dalam perjalanan menuju ke penjara Penjara Ledang di Jalan Felda Inas semalam berjaya ditahan semula.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua suspek, Riki Rinaldi dan Samirudin ditahan secara berasingan.

“Riki Rinaldi telah dijumpai dan  ditahan pihak Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai pada pukul 9 malam tadi hasil maklumat daripada orang awam. 

“Suspek ditemukan pada jarak lebih kurang 10 kilometer dari tempat kejadian dalam keadaan tidak bermaya berikutan kecederaan yang dialami ketika terjun dari kenderaan, manakala Samirudin pula ditemukan pada pukul 10.40 pagi ini di ladang berhampiran tempat kejadian. Kedua-dua suspek kini ditahan di IPD Kulai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Nurul Hizam berkata, pihaknya akan melakukan siasatan dalaman dan mengambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran prosedur keselamatan semasa membawa tahanan.

Samirudin, 36, dan Riki Rinaldi, 40, telah dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan di bawah Seksyen 56 (1A)(a) Akta Imigresen 1959/63.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, kedua-dua suspek bersama dua lagi  warga Indonesia telah dibawa ke Mahkamah Kota Tinggi bagi pertuduhan di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 kerana dipercayai tidak mempunyai pas atau dokumen yang sah masuk ke Malaysia.

Pada pukul 11.20 pagi, tiga anggota Maritim Malaysia ditugaskan membawa mereka dari Mahkamah Kota Tinggi ke Penjara Ledang setelah selesai pertuduhan dan semasa dalam perjalanan, dua suspek tersebut berjaya membuka gari berantai dan membuka pintu belakang van kemudian melarikan diri masuk ke dalam kebun kelapa sawit terbiar berhampiran di Jalan Felda Inas menghala ke Sengkang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN