KOTA BHARU : Doktor kontrak di negeri ini membuat keputusan untuk tidak melancarkan mogok sebagaimana yang diwar-warkan sekaligus menyaksikan operasi perkhidmatan kesihatan di semua hospital berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Tinjauan Utusan Malaysia di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) perkhidmatan kepada para pesakit berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah.
Seorang doktor kontrak yang enggan dikenali berkata, dia bersetuju dengan semua tuntutan dikemukakan namun tindakan melancarkan mogok dilihat tidak bersesuaian dalam menangani masalah berbangkit.
Menurutnya, pada masa sama tindakan itu bercanggah dengan profesyen sebagai doktor kerana merawat pesakit merupakan keperluan utama yang perlu diberikan perhatian.
“Bagi saya, adalah lebih baik kita ambil pendekatan membawa isu atau tuntutan untuk dibincangkan di peringkat atasan termasuk dengan menteri.
“Jumpa dan bincang secara profesional antara wakil doktor kontrak dengan pemimpin. Itu jalan terbaik kerana kita tidak mahu perkara ini menjejaskan kepentingan pesakit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan HRPZ II, di sini hari ini.
Doktor itu memberitahu, tindakan mengambil cuti kecemasan (E.L) atau cuti sakit (M.C) dianggap kurang matang sebagai tanda protes kepada perkara ini.
Katanya, doktor-doktor kontrak di HRPZ II ini boleh dikatakan beruntung kerana hampir semua yang telah lama berkhidmat sudah diserap sebagai kakitangan tetap.
“Hanya tinggal doktor-doktor baharu seperti saya sendiri yang mula berkhidmat pada 2021 lalu masih berstatus kontrak. Namun kami setuju dengan tuntutan dibuat demi masa depan lebih cerah untuk doktor kontrak,” ujarnya.
Seorang lagi doktor kontrak berusia 30 tahun yang enggan dikenali berkata, tuntutan tersebut diperjuangkan disebabkan doktor-doktor kontrak berada dalam tertekan dan keletihan apabila terpaksa mengorbankan masa dengan kadar bayaran tidak setimpal.
“Sebagai doktor kontrak kami tidak dapat faedah-faedah seperti cuti tahunan, kuota haji dan sebagainya sebagaimana di nikmati kakitangan tetap. Kami stress dan letih tetapi terpaksa hadap kerana bagi kami, kesihatan masyarakat lebih penting,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin ketika dihubungi memaklumkan terdapat seramai 1,494 doktor kontrak di Kelantan namun tiada mogok berlaku dan perkhidmatan kesihatan di negeri ini tidak terjejas.-UTUSAN










