KUALA LUMPUR: Polis digesa menyiasat laporan bekas ratu cantik yang mendakwa dirinya diugut bunuh sejak awal tahun ini.
Peguam Faizal Rahman berkata, ini kerana anak guamannya, Shakila Saiful, 27, membuat laporan polis pada Januari lalu di Balai Polis Beranang dan terbaharu pada 30 Mac lalu di Ibu Pejabat Polis Polis Dang Wangi.
Kata beliau, laporan polis dibuat ke atas suami dan bapa mentuanya namun kesemua laporan tersebut didakwa tidak disiasat kerana tiada keterangan pengadu diambil polis.
“Laporan polis dibuat sejak Januari lalu dan anak guam saya tidak pernah dipanggil untuk dirakam percakapan sampai sekarang dan hanya dimaklumkan semalam bahawa kes ini dirujuk kepada majistret,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Shakila dan suaminya berkahwin pada 22 Mei tahun lalu tetapi suaminya itu didakwa memfailkan cerai di mahkamah syariah iaitu kira-kira enam bulan selepas mereka berkahwin.
Dalam pada itu, Faizal turut menimbulkan persoalan adakah kes tersebut tidak disiasat kerana aduan wanita terbabit dibuat terhadap seseorang yang berkedudukan serta berpengaruh.
Mengikut maklumat, Shakila pernah menyertai Miss Lumiere International World Borneo 2021, Miss India Worldwide Malaysia 2018 (Miss Beautiful Skin) dan Miss Malaysia Kebaya 2017/2018.
Sementara itu, satu sumber polis ketika dihubungi mengesahkan ada laporan dibuat pengadu tetapi sumber itu enggan memberi komen. – UTUSAN










