AUKU: Mahasiswa akan lebih bebas

AUKU: Mahasiswa akan lebih bebas

auku
MOHAMED Khaled Nordin bersalaman dengan mahasiswa selepas sesi Townhall Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 di Putrajaya, semalam. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang dijangka dibentangkan dalam persida­ngan Parlimen hujung tahun ini menjanjikan lebih banyak ruang kebebasan kepada mereka yang bergelar mahasiswa.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pindaan akta tersebut lebih memfokuskan kepada Seksyen 15 dan 16 iaitu peruntukan yang berkaitan dengan pelajar.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa draf bagi pindaan akta tersebut akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sekitar pertengahan Jun ini.

INPUT

“Prosesnya ialah kita kena pastikan pindaan itu diluluskan ‘drafting’ (dan) dipersetujui oleh AGC, sebelum bentang di Kabinet, (perlu) dapat input daripada kementerian-kementerian lain dan sebagainya,” katanya menerusi sidang media selepas sesi Town Hall AUKU 1971 di sini semalam.

Pada 19 Mac lalu, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan komitmennya untuk memansuhkan beberapa peruntukan yang menyekat kebebasan mahasiswa dan pensyarah dalam AUKU 1971.

Mengulas lanjut, Mohamed Khalid berkata, pindaan terbaharu yang bakal dilaksanakan itu merupakan kali kelapan selepas tujuh pindaan dibuat terhadap AUKU sebelum ini.

Jelasnya, proses memukta­madkan fasal-fasal yang melibatkan pelajar itu bakal menambah lagi ruang kebebasan untuk mereka bergerak.

BEBAS

“Ini melibatkan soal kegiatan yang mereka jayakan serta soal tanggungjawab dan peluang untuk mengendalikan sendiri akaun (pertubuhan) mereka. Satu daripada perkara yang mereka selalu bangkitkan adalah mereka tidak bebas untuk buat aktiviti kerana perlu merujuk dan mendapat kelulusan daripada pihak universiti dan kedua kalau pun diluluskan mereka tiada kemampuan punca kewangan atau tekanan ketiadaan wang yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti.

“Jadi memandangkan ini (adalah) perkara-perkara yang kita percaya boleh atasi soal perasaan mahasiswa yang tersekat, maka kita akan pinda perkara ini, lebih-lebih lagi kita berpendapat bahawa ini adalah cara untuk membangunkan kematangan dan kedewasaan pelajar-pelajar apabila mereka sendiri bertanggungjawab dan mengurus akaun serta menentukan jenis-jenis aktiviti,” ujarnya.

AUKU 1971 merupakan suatu akta yang bertujuan untuk me­nubuhkan, menyelenggara dan mentadbirkan universiti dan kolej universiti dan bagi perkara lain yang berkenaan dengannya.

Akta tersebut juga merupakan punca kuasa penubuhan dan tadbir urus 20 universiti awam serta punca kuasa yang menghubungkan akauntabiliti institut pengajian tinggi kepada kerajaan dan masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN