Aidilfitri: Pengeluar bantu tambah bekalan ayam jika berlaku kekurangan - Utusan Malaysia

Aidilfitri: Pengeluar bantu tambah bekalan ayam jika berlaku kekurangan

S. Veerapan (tengah) dan Muhammad Zahir (tiga dari kiri) ketika mengadakan walkabout pada Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri Sembilan di sebuah pasar raya di Seremban 2, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pihak pengeluar dan pemborong bagi ayam dan telur di negeri telah diminta untuk membantu menambah bekalan sekiranya berlaku kekurangan bahan mentah tersebut di pasaran ekoran permintaan tinggi menjelang Aidilfitri.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, terdapat beberapa pengeluar dan peladang ayam dan telur di negeri ini telah menyatakan komitmen mereka untuk membantu memastikan pengguna pada hari raya nanti tidak berdepan dengan masalah kekurangan bekalan.

“Kami telah jalinkan kerjasama dengan pihak pengeluar dan pemborong bagi membantu KPDN dengan peruncit. Mana-mana kawasan terputusan bekalan, mereka akan hantar dan bekalkan bahan mentah itu ke sana.

“Seramai kira-kira 100 orang penguatkuasa KPDN akan berada di lapangan setiap hari bagi memantau dan mendapatkan laporan. Jika berlaku kekurangan bekalan ayam dan telur, kami menjangkakan bekalan dapat dipulihkan dalam masa satu hingga tiga hari menerusi bantuan yang diberikan oleh pihak pengeluar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri Sembilan di sebuah pasar raya di Seremban 2 di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan.

S. Veerapan (tengah) melihat harga tomato ketika mengadakan walkabout pada Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri Sembilan di sebuah pasar raya di Seremban 2, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan bahan mentah mencukupi menjelang Aidilfitri.

Beliau menjelaskan, pihak KPDN akan memastikan bekalan bahan mentah, termasuk ayam, telur dan sayur adalah mencukupi.

Dalam pada itu, Muhammad Zahir berkata, bekalan di 151 buah ladang ayam dan lima ladang telur di negeri ini turut mencukupi bagi menampung permintaan orang ramai kelak.

“Di peringkat pasar raya juga, mereka sudah berikan pengesahan bahawa bekalan ayam ketika ini adalah stabil dan tiada isu sehingga tamat hari raya nanti,” tambah beliau.

Sementara itu, ujar Veerapan, hasil daripada pemantauan dan pemeriksaan menerusi Op Pantau yang dilakukan terhadap 3,677 premis mendapati bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi di semua peringkat rantaian perniagaan sepanjang tempoh bulan Ramadan ini.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN