PETALING JAYA: Cuaca hari kedua Hari Raya Aidilfitri pada sebelah pagi diramal baik di hampir seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, terdapat beberapa kawasan dijangka dilanda hujan iaitu di kawasan pantai Perlis dan Kedah serta satu atau dua tempat di Pulau Pinang dan Perak.
“Di Sabah, hujan dijangka di satu dua tempat di Tawau dan Sandakan. Tiada hujan di pedalaman Pantai Barat, Kudat serta Wilayah Persekutuan Labuan.
“Di Sarawak pula, tiada hujan di kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang,” kata MetMalaysia dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, mengikut laporan Lembaga Lebuh Raya Malaysia, aliran trafik di KLK, Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1), Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) masih lancar.
Bagaimanapun, aliran trafik arah timur sebelum Plaza Tol Gombak dilaporkan perlahan, pagi ini.
Sebagai rekod hari ini tiada tol percuma diberikan dan pengguna lebuh raya perlu memastikan baki Touch `n Go atau e-Wallet mencukupi. – UTUSAN