1,059 banduan bersatu dengan keluarga - Utusan Malaysia

1,059 banduan bersatu dengan keluarga

SEBAHAGIAN daripada 14 banduan atau ‘orang bebas berlesen’ diiringi keluar dari Penjara Pokok Sena, Kedah semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 1,059 banduan bagi kesalahan ringan diberi peluang beraya bersama ahli keluarga di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti).

Semalam 268 banduan atau `orang bebas berlesen’ mendapat pelepasan serentak di seluruh negara, 204 dibebaskan pada awal Ramadan manakala 587 lagi akan menyusul sepanjang bulan Syawal.

Program tersebut adalah salah satu daripada tujuh ikhtiar khas termasuk pemberian tol percuma empat hari, diskaun semua saman trafik RM50 bagi setiap saman yang dikeluarkan sebelum tahun ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pegawai Bahagian Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia berkata, banduan yang diberi peluang tersebut melibatkan banduan jenayah ringan seperti kesalahan mencuri, peras ugut, pesalah dadah dan kes syariah.

Menurut beliau, proses pemilihan `orang bebas berlesen’ perlu melalui tiga peringkat iaitu melibatkan jawatankuasa PBSL Jabatan Penjara bagi peringkat institusi, negeri hingga ke Ibu Pejabat Penjara.

Katanya, antara banduan yang layak dipertimbangkan bagi mereka yang telah menjalani hukuman satu tahun penjara atau telah dipenjarakan satu pertiga daripada hukuman dikenakan selain sedang mengikuti Program Pemulihan di penjara.

“Antara yang layak melibatkan banduan bagi kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) iaitu sengaja menyebabkan cedera dengan berbahaya, Seksyen 27(a) enakmen kesalahan jenayah syariah, Seksyen 411 (memiliki harta curi) dan Seksyen 384 KK (melakukan peras ugut).

“Selain itu, banduan bagi jenayah dadah turut dipertimbangkan bagi program ini melibatkan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) ADB atas kesalahan memasukkan dadah dalam badan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, banduan yang dijatuhkan hukuman mati, penjara seumur hayat; tahanan limpah kurnia dan bukan sabitan tidak layak dipilih menyertai program PBSL.

Selain itu, turut tidak layak dipertimbangkan adalah banduan mempunyai kes lain, masih dalam rayuan, belum menjalani hukuman sebat, warga asing dan sabitan yang mempunyai perintah tahanan.

Kata pegawai berkenaan, sebelum mendapat kelulusan sebagai `orang bebas berlesen’ setiap banduan itu perlu menjalani beberapa saringan dan ujian bagi memastikan mereka bersedia untuk dibebaskan dan tinggal bersama keluarga.

“Yang penting mereka perlu mendapat jaminan keluarga, majikan atau badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyediakan tempat tinggal dan pekerjaan.

“Semua `orang bebas berlesen’ akan dipantau oleh pegawai parol daerah melalui lawatan ke kediaman, tempat bekerja atau panggilan telefon,” kata beliau.

Di Alor Setar, seorang banduan yang lebih 10 kali keluar masuk penjara berazam untuk tidak menjejakkan lagi kaki ke tirai besi itu setelah diberi peluang bebas awal daripada tarikh sepatutnya.

Warga emas yang mahu dipanggil sebagai Din, 62, berasal dari Kuala Kedah berkata, dia tidak menyangka diberi peluang beraya bersama anak dan cucu tahun ini.

INSAF

“Saya sudah 13 kali keluar masuk penjara atas kesalahan dadah. Saya sukar insaf kerana dikelilingi rakan yang menagi,” katanya ketika ditemui di Penjara Pokok Sena di sini semalam.

Di Melaka, bantuan wanita itu yang mahu dikenali sebagai Azza, 48, berkata, dia bersyukur apabila dihubungi Jabatan Penjara memaklumkan anak perempuannya yang ditahan di Kompleks Penjara Sungai Udang sejak Februari lalu dibenarkan keluar lebih awal berbanding tarikh sebenar pada 12 Mei depan.

Katanya, dia sanggup mengambil cuti dan menaiki bas seawal pukul 8 pagi dari Bandar Tun Hussien Onn di Cheras, Selangor untuk ke Melaka semata-mata membawa anak sulungnya itu pulang ke pangkuan keluarga.

“Kami tidak pernah berpisah sebelum ini. Bukan hati saya seorang yang terasa kosong, malah anak-anak lain juga sentiasa bertanyakan di mana kakak mereka berada,” kata wanita itu.

Di Kota Bharu, seorang bekas pemandu lori yang mahu dikenali sebagai Syah, 46, berkata, bagai mimpi apabila terpilih dalam program `orang bebas berlesen’ selepas dipenjara 10 tahun.

Katanya, pembebasan itu sebagai hadiah bermakna kerana dia akhirnya boleh kembali berpuasa dan menyambut lebaran bersama isteri dan anak perempuannya berusia empat bulan.
“Saya sepatutnya menyambut Aidilfitri dalam ‘tirai besi’ kerana tempoh hukuman hingga Mei,” katanya selepas Majlis PBSL di Pusat Koreksional Machang di sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×