KUALA PILAH: Yayasan Bank Rakyat (YBR) mengambil inisiatif menganjurkan Program Ilmu Asas Malim Gunung Dan Ikhtiar Hidup sebagai usaha menjadikan tugas malim gunung atau pemandu arah sebagai sumber pendapatan.
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, program tersebut telah diadakan di Hutan Simpan Gunung Angsi, di sini baru-baru ini dan disertai seramai 50 orang belia.
“Usaha ini diharapkan menjadi salah satu strategi dalam membuka serta mempelbagaikan peluang menambah pendapatan dalam kalangan belia dengan mengatur perancangan masa hadapan khususnya kepada mereka meminati aktiviti lasak melalui sukan mendaki gunung.
“Mereka boleh menjadikan profesion Malim Gunung sebagai pekerjaan sepenuh masa atau sebagai pekerjaan sambilan dalam menambah sumber pendapatan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, program yang dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Siap Siaga Rembau serta Persatuan Peduli Waghih Negeri Sembilan itu memberikan fokus kepada pembangunan modal insan belia dengan memberi tumpuan kepada ilmu sebagai malim gunung.
“Antara latihan dan modul yang diberi penekanan adalah seperti pertolongan cemas, langkah keselamatan dan menyelamat ketika berlaku kecemasan serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling untuk ikhtiar hidup ketika berada di dalam hutan.
“Selain itu, kursus kemahiran yang dijalankan selama dua hari satu malam ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai ilmu-ilmu perhutanan seperti mengenal tumbuhan liar, mengenali jerat serta mengenal pasti lokasi yang boleh dijadikan tempat perlindungan ketika berada di dalam hutan serta berlaku kecemasan,” katanya lagi.
Menurut Syaiful Rizal, program berkenaan juga secara tidak langsung membantu memberi pendedahan kepada masyarakat dalam menjalankan aktiviti mendaki gunung dan perkhemahan secara selamat, tersusun serta memberi pengalaman dalam menghadapi situasi sukar ketika berada di dalam hutan.
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi tahun 2022, seramai 33,903 orang penerima manfaat telah menyertai program modal insan kepada masyarakat anjuran YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.6 juta yang melibatkan 72 program.-UTUSAN.