SEREMBAN: Kesukaran dihadapi seorang ibu tunggal untuk menampung pembiayaan pendidikan anaknya di universiti mendapat perhatian dari pihak Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, pihaknya hari ini tampil memberikan sumbangan tunai sebanyak RM2,500 kepada Anniza Wardi, 52, bagi tujuan membiaya kemasukan ke semester baharu anaknya, Akmal Adil Syahmi Shahruddin yang kini di semester kedua jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina di Universiti Malaya.
Beliau menambah, sumbangan kepada Anniza yang merupakan seorang pekerja pembersihan itu dilihat mampu meningkatkan moral keluarga agar sentiasa menyokong dan meraikan kejayaan anak-anak mereka untuk menyambung pengajian walaupun menghadapi masalah dan kesempitan hidup.
“Saya berharap dengan bantuan daripada YBR ini dapat membantu Akmal Adil mencapai impiannya dan dapat membantu keluarganya kelak,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu kepada Anniza di Masjid Kuarters KLIA di Nilai di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Sementara itu, Syaiful Rizal menambah, melihat keadaan ekonomi yang masih tidak stabil, diharapkan pemberian sumbangan tunai ini sedikit sebanyak mampu meringankan urusan kewangan yang dihadapi oleh keluarga pelajar terbabit.
“Sumbangan yang disalurkan kepada mereka yang layak ini diharapkan mampu memberi suntikan semangat dan motivasi kepada anak-anak untuk terus berusaha menuntut ilmu serta sebagai tanda ingatan YBR dalam membantu masyarakat yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Usaha ini bukan sahaja dilihat sebagai pemberian sumbangan khas YBR kepada penerima bahkan diharap dapat menjentik hati mana-mana agensi dan pihak berwajib agar turut tampil turun padang mengenal pasti sendiri mengenai situasi ini yang adakalanya terlepas pandang,” katanya.-UTUSAN.