UTHM agih sumbangan bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

UTHM agih sumbangan bantu mangsa banjir

MOHD. RAZIF M. ISMAIL (kiri) membantu mengangkat barang bantuan ke dalam lori sebelum diagih-agihkan kepada mangsa banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT:  Hasil sumbangan daripada tabung yang dilancarkan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) untuk membantu mangsa banjir telah diagih-agihkan kepada tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.

Pengerusi Yayasan UTHM, Mohd. Razif M. Ismail berkata, tabung itu dibuka kepada warga universiti berkenaan serta orang ramai yang bersimpati serta ingin membantu mangsa bencana alam tersebut.

Menurutnya, hingga kini, tujuh PPS, masing-masing empat di Kluang dan tiga di Muar telah menerima sumbangan pelbagai barangan melibatkan jumlah kira-kira RM11,000.

“Antara barang yang diberikan adalah keperluan diri serta makanan dan lampin pakai buang untuk orang dewasa dan kanak-kanak. Selepas ini beberapa lagi PPS di Sri Gading akan disantuni menggunakan dana hasil daripada kutipan tabung ini yang mendapat sambutan daripada warga UTHM dan masyarakat setempat,” katanya. 

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, pihaknya turut giat mengesan penuntut dan staf yang terlibat dengan bencana banjir ini untuk diberikan bantuan dan sumbangan. 

Selain kutipan dana tabung, pihaknya juga akan menyediakan sukarelawan untuk membantu masyarakat setempat melakukan kerja-kerja pembersihan pasca banjir termasuk di tempat awam. 

“Pihak UTHM juga bersedia membantu kerajaan negeri dengan menyumbangkan tenaga dan kepakaran yang ada untuk membantu masyarakat terkesan,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Yayasan UTHM – 1101686287 (Bank Rakyat) atau menghubungi talian 012-7399496 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya