KOTA BHARU : Kerajaan negeri menjelaskan tujuh pemuda yang memakai seluar pendek di khalayak ramai hanya diberikan amaran dan bukannya saman.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, amaran itu lebih bersifat kepada nasihat agar mereka berpakaian lebih munasabah apabila berada di tempat awam.
“Setahu saya kita tidak sama. Cuma beri amaran sebagai nasihat agar mereka berpakaian lebih munasabah, tambahan pula di dalam mazhab Shafie, lutut merupakan sebahagian daripada aurat bagi lelaki.
“Jadi tidak sepatutnya seorang lelaki Muslim berpakaian yang menampakkan bahagian lututnya. Hendak pakai seluar pendek boleh tetapi biarlah ia menutupi bahagian lutut,” katanya kepada ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Medan Ilmu, di sini hari ini.
Mohd. Amar memberitahu, tindakan diambil penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) itu dibuat mengikut Seksyen 23 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 dan menepati mazhab Shafie yang menjadi pegangan di negara ini.
Katanya, undang-undang berkenaan sebenarnya sudah lama wujud dan boleh dikatakan semua negeri mempunyai peraturan-peraturan berpakaian cuma mungkin tidak dikuatkuasakan.
“Penguatkuasaan peraturan tersebut di negeri ini juga lebih kepada tujuan menasihati orang ramai. Setakat ini kita tiada hasrat untuk suruh orang ramai bayar denda atau sebagainya,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seramai tujuh individu di kompaun atas kesalahan mendedahkan aurat di tempat awam dengan memakai seluar pendek dalam serbuan di Kampung Gertak Chaber dan Kusial, di Tanah Merah.
Kesemua lelaki berusia belasan tahun dan 20-an itu dikompuan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) dibawah Seksyen 23 iaitu Dedah Aurat Ditempat Awam menerusi Op Bersepadu bersama Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tanah Merah dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).-UTUSAN










