Tubuh jawatankuasa khas di JPM siasat ketirisan barang bersubsidi - Utusan Malaysia

Tubuh jawatankuasa khas di JPM siasat ketirisan barang bersubsidi

MOHD. FIRDAUS ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibarahim menubuhkan jawatankuasa khas di Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk menyiasat ketirisan barangan bersubsidi di seluruh negara yang jumlahnya berbilion ringgit seperti, diesel, petrol, minyak masak dan gas petroleum cecair (LPG).

Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, jawatankuasa khas itu perlu diketuai oleh JPM dan dianggotai Kementerian kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup, pejabat Peguam Negara, pejabat Akauntan Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Integriti.

“Ia juga perlu melibatkan agensi penguatkuasa seperti Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Bank Negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Firdaus berkata, jawatankuasa khas itu perlu melakukan kaji selidik dan audit forensik secara keseluruhan terhadap semua pemain industri membabitkan diesel, petrol, minyak masak, gas LPG dan barangan bersubsidi lain.

“YPNM memohon forensik ini dilakukan lima tahun kebelakang di seluruh negara melibatkan golongan peruncit, pemborong, pengedar, pembungkus dan pengilang.

“Menerusi tindakan ini, kerajaan akan dapat mengenal pasti kartel-kartel dan sindiket-sindiket yang merosakan ekonomi negara dan boleh dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Beliau berkata, YPNM juga akan menghantar memorandum beserta keterangan dan bukti penyelewengan barang bersubsidi negara kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau mendakwa, penyelewengan barangan bersubsidi negara yang terus berlaku tanpa penyelesaian dimonopoli oleh kartel mafia-mafia antarbangsa yang bersekongkol dengan sindiket-sindiket tempatan.

Dakwanya, sindiket terbabit dilindungi oleh ‘tangan-tangan ghaib’ bagi ‘menghalalkan’ kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barangan bersubsidi sekian lama.

“Kegiatan ini merosakan ekonomi dan pembangunan negara serta memberi implikasi besar kepada sosio ekonomi pengguna, ia disebabkan ketidakcekapan pengurusan atau terlepas pandang oleh jabatan dan kementerian berkaitan atau kemungkinan besar kerana rasuah.

“Disebabkan ketirisan kebocoran salah guna subsidi, segala beban ditanggung dan diletakkan di bahu pengguna. Jika subsidi yang melibatkan berbillion ringgit Malaysia diselamatkan, sudah tentu rakyat dapat menikmati pelbagai inisiatif dan faedah yang memuaskan kehidupan seharian dengan selesa.

“Tetapi apa yang berlaku, kerana kerakusan rasuah dan ketidakcekapan pengurusan, terutama penglibatan ‘tangan-tangan ghaib’ yang melindungi mafia-mafia dan kartel-kartel yang telah menyeleweng subsidi yang disasarkan kepada pengguna-pengguna Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2023 dilaporkan berkata, wujud ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion yang diseleweng pada 2022.

Pada 25 Februari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub dilaporkan berkata, pasukan bertindak khas akan melakukan rondaan dan memantau logistik di semua lokasi penting, khususnya di kawasan pedalaman di seluruh negara yang dikhuatiri banyak berlaku ketirisan diesel.

Salahuddin dilaporkan berkata, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd. Yusof telah diarahkan mengetuai pasukan bertindak khas bagi menangani isu ketirisan subsidi diesel itu daripada terus berleluasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya