Tidak perlu darurat, hujan dijangka berkurangan - PM - Utusan Malaysia

Tidak perlu darurat, hujan dijangka berkurangan – PM

ANWAR Ibrahim menyantuni mangsa banjir ketika melawat PPS SJKC Kampung Tengah, Segamat. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kerajaan tidak perlu mengisytiharkan darurat ekoran situasi bencana banjir luar biasa, khususnya yang melanda Johor ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lagipun hujan dijangka berkurangan dalam tempoh beberapa hari akan datang. 

“Keputusan kerajaan tidak isytihar darurat kerana hujan dijangka berkurangan dan di beberapa tempat sedikit surut. Di beberapa tempat yang mengalami banjir temenung pula, mungkin itu mengambil masa sedikit untuk surut.

“Namun tidak perlu darurat setakat ini dan keadaan banjir difahamkan mulai surut bermula hari ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kampung Tengah, di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau yang ditemani Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melawat PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh.

Pada Jumaat lalu, Kabinet tidak membincangkan sebarang keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Johor yang terjejas teruk akibat banjir.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan daripada kerajaan diharap dapat meringankan beban mangsa banjir memandangkan banyak barang keperluan rumah rosak akibat bencana itu.

Beliau turut telah menghubungi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membantu mangsa banjir di Johor

“Saya juga telah hubungi semua GLC penting kerajaan Persekutuan termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk selesaikan masalah elektrik dengan kadar segera.

“Selain itu Yayasan Sime Darby menyediakan kit kesihatan kepada 1,500 keluarga dan menyalurkan dana tambahan RM20 juta untuk mangsa banjir di negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN