Tiada 'favouritism', sedia bekerja sebagai pasukan - Ahmad - Utusan Malaysia

Tiada ‘favouritism’, sedia bekerja sebagai pasukan – Ahmad

AHMAD ZAHID HAMIDI bersalaman dengan ahli UMNO yang menghadiri Majlis Pengenalan Calon-Calon Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Peringkat Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan beliau tidak mengamalkan sikap ‘favouritism’ dalam mempengaruhi perwakilan untuk memilih calon tertentu dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung ketika ini.

“Semua yang bertanding ini kawan-kawan, saya tiada ‘favouritism’ dalam mempengaruhi perwakilan untuk memilih calon-calon, sebaliknya saya tahu perwakilan semakin bijak, mereka tahu mana kaca dan mana berlian.

“Walaupun dalam pemilihan kali ini, jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, namun saya tetap berkunjung ke setiap negeri untuk bersama-sama semua calon, itu adalah komitmen saya untuk UMNO negeri-negeri dan UMNO Malaysia,” katanya pada Majlis Pengenalan Calon-Calon Naib Presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Peringkat Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Justeru, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri  berharap semua calon yang memenangi jawatan Naib Presiden, MKT, serta Ketua Sayap dan Ketua Bahagian akan mengetepikan sebarang sengketa yang mungkin timbul sewaktu pemilihan berlangsung.

“Kita perlu bergerak sebagai sebuah pasukan, siapa yang menang kita beri pengiktirafan dan yang kurang berjaya jangan diketepikan, walaupun tidak dalam barisan jawatankuasa tetapi bantulah rakan-rakan yang menang.

“Ini penting kerana kita bukan sahaja bakal berdepan PRN (Pilihan Raya Negeri) di enam negeri tetapi juga PRU (Pilihan Raya Umum) ke-16 akan datang. Jadi barisan baharu itu nanti perlu bekerja keras untuk kembali memulihkan imej UMNO,” katanya.

Dalam sidang akhbar selepas itu, beliau menyatakan bersedia untuk bekerjasama dengan barisan kepimpinan baharu, termasuk sayap Pemuda dan Puteri yang menerima ketua baharu pada pemilihan kali ini.

“Keputusan pemilihan melibatkan jawatan ketua sayap seperti Ketua Wanita dan Ketua Pemuda yang menyaksikan perwakilan memilih calon berusia muda berbanding lebih senior bukanlah indikator buat jawatan MKT. Ini kerana bukan sahaja faktor usia tetapi juga golongan profesional turut dipilih, ini menunjukkan demokrasi tetap subur dalam UMNO,” jelasnya.

Ditanya mengenai cadangan Ketua Pemuda UMNO yang baharu, Dr. Akmal Salleh yang akan mencadangkan supaya umur ketua sayap itu dihad 40 tahun, Ahmad Zahid berkata, UMNO terbuka dengan sebarang cadangan, namun perlu dibincangkan terlebih dahulu mengikut prosedur sewajarnya termasuk mendapatkan kelulusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

“Ketika saya jadi Ketua Pemuda UMNO dahulu, saya juga ada terfikir seperti itu (hadkan usia Ketua Pemuda UMNO kepada 40 tahun), namun hingga kini situasi masih dikekalkan mengikut kesesuaian.

“Namun, perbincangan mesti diadakan sebelum perkara itu boleh mendapat kelulusan, ia perlulah dibawa ke pengetahuan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan parti, sebelum boleh dibincangkan di peringkat MKT dan akhirnya perlu dipersetujui di peringkat PAU,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN