Tak perlukan Siti Bainun sebab ada suami

Tak perlukan Siti Bainun sebab ada suami

Siti Bainun hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk mendengar perbicaraan, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu tadbir di Bukit Aman di sini memaklumkan dia hadir ke Mahkamah Sesyen di sini untuk memberi keterangan bukan untuk menyelamatkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali tetapi untuk memberitahu apa yang diketahuinya sepanjang tinggal serumah dengan wanita terbabit.

Saksi pembelaan ketiga yang juga bekas Penghuni Rumah Bonda, Noor Marliana Ramlee, 28, turut menafikan bahawa dia mereka-reka cerita bagi melindungi dan menutup perbuatan Siti Bainun.

“Saya datang untuk beritahu apa yang saya tahu dan bukan untuk selamatkan Siti Bainun. Saya tidak nampak kejadian itu berlaku di (Kondominium) Irama Wangsa,” katanya ketika pemeriksaan semula oleh peguam bela, Mohammad Farhan Maaruf.

Saksi itu berkata demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan Siti Bainun yang didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down, Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Kondominium Irama Wangsa, Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kondominium Irama Wangsa merupakan rumah kediaman Siti Bainun bersama anak-anak angkatnya manakala Rumah Bonda yang merupakan pusat jagaan remaja hamil luar nikah yang terletak di Setapak.

Terdahulu, ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shakira Aliana Alias, saksi pendakwaan yang sebelum ini bekerja sebagai kerani di Rumah Bonda itu menafikan dia terhutang budi dengan Siti Bainun dan memerlukan wanita itu untuk menanggung perbelanjaan keluarganya.

Marliana juga menafikan bahawa Siti Bainun pernah menghadiahkannya sebuah kereta Honda Jazz, barangan kemas dan telefon bimbit berjenama.

Shakira: Jadi gaji awak RM900 (sebagai kerani di Rumah Bonda) cukup untuk tampung semuanya?

Marliana: Ya sebab saya ada suami.

Marliana juga memaklumkan dia dan Siti Bainun pernah membawa Bella ke sebuah klinik di Setapak untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, Bella tidak dibawa bertemu dengan doktor kerana remaja terbabit `tantrum’ dan menangis kerana terpaksa menunggu lama.

Pada prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan ke-16, Dr Rashid Khan Khan Mohamad dari Klinik Setapak dan Surgeri memberitahu mahkamah Siti Bainun ada berjumpa dengannya pada 2 Jun 2021 untuk mendapatkan ubat bagi rawatan kecederaan air panas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.