
MUKADIMAH
SELEPAS beberapa ketika ‘menyepi’ daripada dunia politik, DATUK SERI AHMAD BASHAH MD. HANIPAH membuat kemunculan semula apabila mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai Ketua UMNO Bahagian Alor Setar dalam pemilihan kali ini.
Pelbagai spekulasi timbul mengenai kepulangan semula bekas Menteri Besar Kedah itu tetapi beliau awal-awal menjelaskan kehadirannya bukan untuk mengejar cita-cita politik termasuk kembali menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen atau menteri.
Ikuti temubual wartawan Utusan Malaysia MOHD. RAFIE AZIMI bersama Ahmad Bashah yang pernah memimpin UMNO Kedah untuk merampas semula negeri itu daripada Pas dalam PRU13.
UTUSAN: Mengapa buat keputusan untuk kembali bertanding dalam pemilihan UMNO kali ini?
AHMAD BASHAH: Saya cuma nak bagi sumbangan dan bantu harmonikan UMNO Bahagian Alor Setar. Bersama rakan-rakan di bahagian lain, kami mahu pakat-pakat cantum dan bina semula UMNO Kedah yang ketika ini langsung tidak memiliki kerusi Parlimen dalam PRU lalu.
Itu saja sebabnya. Lagi pun jawatan itu kosong kerana Ketua Bahagian sebelum ini digantung parti. Kalau jawatan itu ada disandang oleh mana-mana individu, saya tak akan bertanding.
Selepas melihat situasi di Kedah pada PRU15, apa yang mampu Datuk Seri tawarkan?
Saya tawarkan pengalaman setelah sekian lama aktif dalam parti sejak 1975. Saya sendiri bermula daripada bawah dan telah banyak lalui liku-liku cabaran dalam dunia politik.
Maka saya fikir, ada beberapa perkara yang boleh saya sumbangkan semula untuk kukuhkan parti. Saya bukan mahu rebut jawatan kerana dalam usia ini, sudah tak ada apa nak dikejar sebaliknya hanya mahu lakukan sesuatu untuk kekuatan parti yang saya sayang.
Parti saya tetap UMNO dulu, kini dan selamanya. Dalam keadaan dunia politik kucar-kacir beberapa tahun kebelakangan ini, ada parti lain ajak saya sertai mereka tetapi saya tak lari daripada perjuangan UMNO.
Apabila mahu berkongsi pengalaman, bagaimana agaknya momentum untuk kembali berkhidmat setelah Datuk Seri ‘berehat’ sebentar sebelum ini?
Selama ini sebenarnya saya hanya tinggalkan jawatan tetapi masih terus berkhidmat dan ikuti perkembangan parti. Saya aktif bersama Kelab Veteran UMNO, malah terus menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan sebagainya.
Bukan itu saja, Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor, semuanya saya pergi untuk bantu parti. Ertinya walaupun tak pegang jawatan, saya tahu apa perubahan perlu dilakukan bagi memastikan parti kukuh kembali.
Kalau menang sebagai Ketua Bahagian, adakah Datuk Seri akan kembali bertanding dalam PRN atau PRU selepas ini?
Berkaitan perkara ini, saya mahu nyatakan dengan jelas bahawa saya tak kejar semua itu. Eloklah kita letakkan orang baharu dan pakat-pakat bantu individu itu dan lawan habis-habisan untuk pastikan calon itu menang kerusi buat UMNO.
Kalau parti tanya pandangan untuk saya bertanding semula pun, saya akan katakan tak perlu. Saya datang bukan untuk rebut jawatan dan sebaliknya hanya untuk kukuhkan parti. Dalam usia sekarang, tak ada apa dah untuk saya ‘ligan’.
Bagi saya, kita harus buat keputusan tepat dalam pemilihan kali ini. Kalau perwakilan memilih calon-calon tepat untuk kemudi UMNO, tak mustahil kita mampu catat keputusan baik dalam PRN di enam negeri walaupun masanya mungkin dilihat singkat.
Dalam kunjungan Presiden ke Kedah baru-baru ini, beliau sebut pimpinan UMNO di semua peringkat mesti bertindak sebagai satu pasukan. Boleh tafsirkan perkara itu?
Dalam keadaan sekarang, UMNO jelas sudah tidak boleh berpecah. Kalau ada dua kem dalam parti, itu hanya membawa kehancuran dan sebab itulah dilaksanakan pembersihan baru-baru ini.
Bagi saya, semua ahli UMNO perlu berbalik kepada slogan parti iaitu Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat. Itu slogan yang cukup ampuh hingga membolehkan kita bertahan selama lebih 60 tahun sebagai Kerajaan Persekutuan tetapi sekarang ini ramai orang tidak ‘pegang’ slogan itu.
Seperti kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, UMNO tak mampu lagi untuk berpecah kepada kabilah-kabilah tertentu. Dalam UMNO ini, kata kunci iaitu Bersatu dan Bersetia itu penting agar kita sayang serta ikuti segala arahan parti untuk berkhidmat buat rakyat. – UTUSAN










