Sisa buangan makanan di bazar Ramadan dijangka meningkat - Utusan Malaysia

Sisa buangan makanan di bazar Ramadan dijangka meningkat

SITI Yusnita Mohamad Yusof (kanan) mengedarkan risalah kepada peniaga pada Majlis Pelancaran MYSaveFood Ramadan 2023 di Bazar Ramadan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jumlah sisa buangan bahan makanan di bazar Ramadan di negeri ini dijangka meningkat kepada 2,500 tan sehari berbanding tahun lalu.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, Siti Yusnita Mohamad Yusof berkata, peningkatan itu berikutan penambahan jumlah bazar Ramadan yang dibuka.

“Kami menjangkakan terdapat peningkatan sebanyak 15 peratus sisa buangan makanan dari bazar Ramadan berbanding tahun lalu. 

“Sehubungan itu berharap pihak penganjur bazar Ramadan dapat melantik kontraktor bagi memastikan sisa makanan di tapak bazar dapat dibersihkan dan seterusnya dihantar ke tapak pelupusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran MYSaveFood Ramadan 2023 di Bazar Ramadan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini hari ini. 

Sementara itu, menurutnya, Program MYSaveFood Ramadan 2023 yang dilaksanakan untuk tahun ketiga itu bertujuan bagi mengurangkan pembaziran makanan di bazar-bazar Ramadan. 

“Terdapat sebanyak 22 lokasi agihan makanan yang dikumpulkan oleh sukarelawan MYSaveFood Ramadan tahun ini. Sehingga kini, seramai 161 orang sukarelawan telah berdaftar untuk menyokong program ini. 

“Jumlah sukarelawan kali ini agak ramai kerana kami telah memperluaskan program ini kepada tujuh lokasi bazar Ramadan.  Ia sebagai satu inisiatif mengurangkan pembaziran makanan di tapak bazar Ramadan yang mana lebihan makanan yang tidak berjaya dijual oleh peniaga diselamatkan dan diberikan kepada pihak yang memerlukan,” katanya lagi.

Jelas Siti Yusnita, mengikut data yang tahun lalu,  melalui program berkenan,  sebanyak 716.5 kilogram makanan dan 385.3 kilogram berjaya diselamatkan dan kemudian diagihkan. 

“Program ini dapat memberikan impak besar dengan penglibatan peniaga bazar. Alhamdulillah peniaga memang memberi sambutan yang baik bagi program ini,” katanya. 

Antara lokasi Bazar Ramadan yang terlibat, bazar Ramadan Putra Nilai,  bazar Ramadan Lotus Bandar Baru Nilai, Bazar Ramadan Taman Semarak, bazar Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Seremban dan bazar Bandar Sri Sendayan. 

Lokasi agihan makanan pula adalah seperti Masjid Pusat Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Flat Nilai Perdana, Surau Rumah Rakyat Nilai , Kolej Keduaman 1, asrama USIM, Flat Casuarina Paroi, Flat UDA Ampangan, Rumah Anakku Sayang Rayyan, Mahaad Tahfiz Sendayan  dan Institut Perguruan Guru Kampus Bandar Enstek. 

Sementara itu, Pengerusi Pemuda Gema Negeri Sembilan, Muhamad Safuan Mohd. Mad Zil, 30, berkata, lebih 100 orang sukarelawan telah berminat menyertai Program MYSaveFood Ramadan tahun ini. 

“Di bazar Ramadan di sekitar Nilai sahaja terdapat lebih 100 orang sukarelawan manakala di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi ini terdapat 24 orang sukarelawan yang terlibat. 

“Setakat ini, kami banyak menerima lebihan makanan yang masih elok iaitu nasi, air dan lauk-pauk. Ia bergantung pada keadaan cuaca juga, jika waktu hujan banyak lebihan makanan kemungkinan orang ramai kurang keluar membeli di bazar Ramadan,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.