Simbah cat merah pada Toyota Vellfire, lelaki didenda RM10,000 - Utusan Malaysia

Simbah cat merah pada Toyota Vellfire, lelaki didenda RM10,000

LIM Wei Kien dibawa ke Mahkamah Majistret Bahau, Jempol hari ini bagi didakwa atas tuduhan menyimbah cat pada sebuah kenderaan pada bulan Februari lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Seorang pemandu lori didenda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyimbah cat merah ke sebuah kenderaan di daerah ini bulan lalu.

Tertuduh, Lim Wei Kien, 39, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak yang turut memerintahkan 10 bulan penjara jika tertuduh gagal menjelaskan bayaran denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada kenderaan jenis Toyota Vellfire milik seorang lelaki pada pukul 9 pagi, 26 Februari lalu di sebuah taman perumahan di Jalan Rompin, di sini.

Oleh itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada tarikh, masa dan lokasi yang sama, mangsa mendapati kenderaan dan halaman rumahnya sudah disimbah cat berwarna merah dan turut ditinggalkan tiga keping kertas bertulis nombor telefon.

Mangsa kemudiannya telah memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seseorang yang tidak dikenali telah menyimbah cat serta meletakkan beberapa keping kertas.

Hasil siasatan polis ke atas CCTV, didapati sebuah kereta jenis Nissan Almera telah diparkir di hadapan sebuah rumah pada hari kejadian dan semakan nombor pendaftaran mendapati ia milik tertuduh.

Tertuduh ditangkap ketika menaiki kereta tersebut dan mempunyai dua tong cat berwarna merah dan sebotol minyak thinner bersamanya.

Difahamkan, tertuduh mengambil upah sebanyak RM150 bagi kerja menyimbah cat ke atas kenderaan dan rumah. Rertuduh gagal membayar denda dan kemudiannya dihantar ke Penjara Jelebu bagi menjalani hukuman.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya