MELAKA: Telur import dari India tidak akan dibawa masuk untuk pasaran negeri ini kerana pengeluaran telur di peringkat domestik mencukupi.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sebanyak enam juta biji telur dihasilkan setiap hari dan jumlah itu mencukupi untuk kegunaan domestik.
Menurut beliau, lebihan pengeluaran itu turut digunakan untuk menampung permintaan pasaran di seluruh negara.
“Kita tidak ada masalah dengan bekalan telur malah pengeluaran di negeri ini mencukupi untuk kegunaan domestik. Lebihan pegeluaran kemudiannya dipasarkan ke negeri-negeri lain bagi menampung permintaan.
“Setiap hari sebanyak enam juta telur dihasilkan. Jadi kita tidak akan menerima (telur import) kerana kita (Melaka) mampu membantu negeri yang kekurangan telur,” katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan daripada Dr. Mohd. Aleef Yusof (PN-Sungai Udang) mengenai pendirian kerajaan untuk membawa masuk telur import dari India bagi kegunaan domestik. – UTUSAN