PETALING JAYA: Sijil pentauliahan untuk penceramah agama perlu diselaraskan di semua negeri bagi mengelakkan timbul kekeliruan dan pertikaian pada masa hadapan.
Mufti perlu memainkan peranan lebih besar mencari titik penyelesaian termasuk menasihati sultan agar ia dapat dilaksanakan menerusi perbincangan khas raja-raja.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penceramah bebas, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkata, seandainya perkara tersebut tidak diselesaikan, ia dibimbangi akan menjadi punca perpecahan umat Islam di negara ini.
“Adalah lebih baik raja-raja bertemu dan bincangkan isu pentauliahan ini. Lagipun Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pun sudah ada. Jadi ia (isu pentauliahan) perlu diselaraskan setiap negeri.
“Maknanya tauliahnya boleh dipakai di semua negeri. Bayangkan, kalau ada seorang guru yang sudah berpuluh tahun sebelum ini berceramah, mengaji dan mempunyai ilmu tetapi tiba-tiba kata dia tidak dapat tauliah. Adakah itu logik? Semua ini boleh menyebabkan masyarakat berpecah belah dan hilang hormat kepada sistem beraja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sebelum ini Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membatalkan kuliah maghrib Ustaz Azhar Idrus di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong selepas dikatakan tidak mempunyai tauliah mengajar agama di Selangor.
Selain beliau, JAIS turut mengesahkan Ustaz Muhammad Wadi Annuar juga tiada tauliah mengajar agama Islam di Selangor.
Tambah Ahmad Dusuki, isu pentauliahan perlu diselesaikan sebaik-baiknya dengan melihat kesan pelbagai sudut bagi mengelakkan timbul masalah lain.
“Kita perlu ingat medan dakwah sekarang lebih terbuka dengan kemunculan pelbagai platform. Kalau ada pihak nak sekat mereka berceramah, masih ada saluran lain, Youtube contohnya.
“Kita tidak mahu ada satu gelombang gerakan yang akhirnya menimbulkan perpecahan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ahmad Dusuki berharap umat Islam berhati-hati dengan isu membabitkan lawatan ke rumah ibadat agama lain.
Beliau turut memberikan contoh dengan apa yang berlaku ketika pada zaman Saidina Umar Al-Khattab apabila diberi peluang untuk menunaikan solat di gereja.
“Bahkan Saidina Umar Al-Khattab sendiri sewaktu gereja bagi beliau solat dalam rumah ibadat tersebut, beliau tidak mahu sebab takut boleh mendatangkan fitnah kepada generasi akan datang nanti walaupun dia tahu sembahyang dalam itu boleh.
“Bukanlah saya kata tidak boleh tapi perlu ada kekuatan. Kalau kamu pergi dalam keadaan longgar, kamu akan terpengaruh. Kita perlu ada ada pegangan yang kuat dan bukan pergi dengan keadaan kosong,” ujarnya. – UTUSAN










