Sektor pertanian Johor rugi RM35 juta - Zahari - Utusan Malaysia

Sektor pertanian Johor rugi RM35 juta – Zahari

Zahari Sarip
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Banjir yang melanda negeri ini sejak 1 Mac lalu menyebabkan kerugian hampir RM35 juta bagi sektor pertanian tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, kerugian itu melibatkan lebih 4,000 usahawan tani pelbagai subsektor pertanian di negeri ini.

“Seramai 685 usahawan di bawah Jabatan Pertanian negeri mencatatkan kerugian sebanyak RM8.8 juta, manakala 3,345 petani di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengalami kerugian RM10 juta.

“Dalam pada itu, 355 penternak ruminan di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Johor pula merekodkan kerugian RM5.5 juta, manakala 38 penternak perikanan akuakultur mengalami kerugian RM1.6 juta,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Zahari berkata, bencana banjir turut menyebabkan kerugian sebanyak RM8.4 juta m melibatkan 54 penanam nanas di bawah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

“Kerajaan Pusat dan negeri telah memberi bantuan kepada mereka yang terjejas menerusi bantuan bencana agromakanan yang dibahagikan kepada dua sumber utama peruntukan, iaitu melalui Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan dan menerusi projek pembangunan pertanian kerajaan negeri.

“Bantuan itu diwujudkan bagi membantu petani yang mengalami pengurangan atau kehilangan hasil tanaman akibat kesan bencana alam,” jelasnya.

Dalam pada itu, Zahari mengakui banjir yang menjejaskan hasil pertanian di negeri ini berkemungkinan akan menyebabkan kenaikan harga sayur-sayuran dalam masa terdekat.

“Menyedari hal ini, kerajaan negeri bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) akan mengadakan Bazar Agro Rakyat di beberapa lokasi utama di seluruh Johor.

“Ini adalah sebahagian daripada langkah kami untuk menangani kenaikan harga, sekali gus tidak membebankan kewangan rakyat terutamanya menjelang Ramadan yang semakin hampir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN