PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berharap Kapal Peronda Luar Pesisir pertama (OPV 1) dapat diserahkan kepada agensi itu tahun ini selepas dilancarkan sejak Oktober tahun lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd. Zubil Mat Som berkata, setakat hari ini tiada alasan khusus diberikan kerajaan mengapa kapal operasi yang diperlukan agensi itu sejak tiga tahun lalu gagal diserahkan mengikut masa.
Beliau difahamkan, OPV 1 dijangka dapat diserahkan pada Julai depan walaupun persetujuan awal dijanjikan pada bulan ini mengikut perjanjian asal, manakala OPV 2 pula masih menjadi tanda tanya walaupun sepatutnya dijadualkan pada Oktober.
Bagi pembinaan OPV 3 pula katanya, status kapal tersebut sedang disiapkan berdasarkan blok dan masih belum dicantumkan dengan tempoh siap adalah tahun depan.
“Tiada alasan secara spesifik diberikan kerajaan (kenapa lewat serah kepada Maritim Malaysia).
“OPV 3 pula (sedang disiapkan) cuma by block sahaja dan belum dicantumkan. Jadual asal (tarikh siap) adalah pada tahun depan tapi tak pasti bila,” katanya di sini semalam.
Terdahulu ketika ditemui selepas hadir Perbarisan Paluan Berundur sempena persaraannya, Mohd. Zubil berkata, beliau kecewa dengan penangguhan penyerahan sehingga agensi itu tidak dapat melaksanakan operasi menggunakan kapal itu.
“Saya berasa sangat-sangat kecewa kerana persetujuan sudah dibuat bahawa sebuah kapal akan diserahkan pada Mac dan sekarang sudah nak habis bulan Mac. Saya tidak mahu orang melihat saya komen (keluarkan kenyataan) ini dan beranggapan saya berani bersuara kerana sudah nak bersara.
“Sehingga tempoh persaraan, sebiji kapal pun tidak diterima, cuba bayangkan saya dah nak pencen pun saya masih berjuang untuk dapatkan satu kapal.
“Saya konsisten sejak dahulu bahawa kapal itu perlu diserahkan segera dan kalau boleh semalam saya nak ia diserahkan,” katanya.
Mohd. Zubil akan bersara wajib pada 19 Mac ini selepas 41 tahun dalam perkhidmatan dan Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Datuk Saiful Lizan Ibrahim akan menanggung tugas sebagai Ketua Pengarah.
DISERAHKAN
Katanya, OPV adalah kapal terbaik yang Maritim Malaysia perlukan sejak tiga tahun lalu dan diharap ia dapat diserahkan sebuah kapal dahulu tahun ini.
Mohd. Zubil berkata, pihaknya merancang bahawa kapal itu sepatutnya belayar dan dipamerkan pada Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa (LIMA’23) Mei ini, namun, ia tidak dapat direalisasikan.
“Kita tengok Julai ini, jika ada majlis penamaan kapal kemungkinan mereka akan jemput saya dan jika tiada jemputan, maka kapal itu tidak siap lagilah,” katanya yang turut berharap pengganti beliau kelak akan memperjuangkan perkara sama serta berusaha supaya kapal itu dapat diserahkan tahun ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, OPV 1 dan 2 disiapkan dan diserahkan kepada Maritim Malaysia pada tahun ini mengikut tempoh ditetapkan masing-masing pada Mac dan Oktober.
Kerajaan turut menyuntik pinjaman berjumlah RM152.6 juta bagi memastikan projek Kapal OPV 1 milik Maritim Malaysia disiapkan tahun ini.
Pada Oktober tahun lalu, OPV 1 sepanjang 83 meter (m) dan lebar 13.7m itu dilancarkan ke air dengan keupayaan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal kecil.
Kapal yang direka bentuk mengikut kapal Damen 1800 itu mampu melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal. – UTUSAN










