Rumput Zeon Zoysia: Kerajaan Negeri Sembilan kaji semula tawaran KBS - Utusan Malaysia

Rumput Zeon Zoysia: Kerajaan Negeri Sembilan kaji semula tawaran KBS

PADANG di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban berdepan masalah saliran sehingga menyebabkan berlaku air bertakung di beberapa bahagian apabila hujan lebat sehingga mengganggu perlawanan bola sepak yang berlangsung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengkaji semula tawaran Kementerian Belia dan Sukan yang mahu membantu bagi menampung kos penukaran rumput jenis Zeon Zoysia yang sebelum ini diputuskan untuk dilakukan di padang Stadium Tuanku Abdul Rahman, di Paroi di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata, kajian semula selepas mengambil kira kos penyelenggaraan bagi rumput jenis tersebut selain ketiadaan padang gantian untuk digunakan dalam tempoh kerja-kerja penukaran daripada rumput sedia yang mungkin mengambil masa sehingga empat bulan.

“Di Negeri Sembilan ini kami tiada kemudahan padang selain di Stadium Tuanku Abdul Rahman yang sesuai digunakan bagi kejohanan dan pertandingan Liga Malaysia, kalau dibuat baik pulih dan rumput ditukar ia memerlukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan, ia memerlukan masa sesuai iaitu ketika tiada perlawanan, jika jadual perlawanan terganggu kami terpaksa mencari padang alternatif, itu kesukarannya.

“Kos penyelenggaraan rumput tersebut dianggarkan sekitar RM20,000 sehingga RM30,000 sebulan, ia tetap jumlah yang besar juga. 

“Sebenarnya kami tidak mahu terlepas peluang ini dan tawaran untuk menukar rumput ini dianggarkan bernilai hampir RM1 juta juga tetapi persiapan itu lah (menyukarkan) selain perlu padang alternatif, sistem saliran juga perlu dibaik pulih kerana di Stadium Tuanku Abdul Rahman itu padangnya kadangkala bertakung dengan air di beberapa bahagian, untuk tujuan itu juga ia memerlukan kos yang tinggi, ini pertimbangan yang perlu dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan SEA Ke-31 Vietnam 2021 dan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 Tahun 2022 di sini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun hari ini.

AMINUDDIN Harun (tengah) dan Mohamad Taufek (baris belakang, tiga dari kiri) pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Sukan SEA Ke-31 Vietnam 2021 dan Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 Tahun 2022 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kos penyelenggaraan yang mahal iaitu mencecah sekitar RM240,000 menyebabkan beberapa kerajaan negeri tidak mampu menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia di stadium masing-masing.

Kementerian itu sebelum ini menawarkan kepada kerajaan negeri untuk menampung kos penukaran rumput daripada jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia.

Sementara itu, Mohamad Taufek bagaimanapun berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan pihaknya bersama pihak berkaitan bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.

“Pihak berkaitan dan pemegang taruh akan dipanggil seperti Majlis Bandaraya Seremban (MBS) yang menjaga stadium dan juga Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) untuk kami minta pandangan bagaimana kaedah untuk dimanfaatkan sebaiknya peluang yang ada,” kata beliau lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya