Rugi RM100,000, bengkel kenderaan dimasuki air banjir - Utusan Malaysia

Rugi RM100,000, bengkel kenderaan dimasuki air banjir

HAIRUL HELME ABD. RAHMAN (kanan) membersihkan bengkelnya yang terletak di Jalan Kota Kecil 1, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seorang pengusaha bengkel di sini menyifatkan banjir yang berlaku kali ini sebagai paling teruk sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM100,000.

Hairul Helme Abd. Rahman, 43, berkata, bengkel kenderaannya yang terletak di Jalan Kota Kecil 1 di sini dinaiki air setinggi 1.5 meter yang turut mengakibatkan lapan buah kereta milik pelanggannya tenggelam dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa barang.

“Ketika kejadian air tiba-tiba naik dengan cepat setinggi 1.5 meter. Saya tidak sempat menyelamatkan peralatan bengkel dan kereta pelanggan, kini banyak barangan yang telah rosak termasuk pemampat angin dan botol minyak yang tidak ditutup rapat.

“Lapan buah kereta milik pelanggan turut ditenggelami air sehingga paras bumbung. Selama enam tahun saya buka bengkel di sini inilah kali pertama musibah yang paling teruk yang saya hadapi,” katanya ketika ditemui di sini.

Ekoran itu operasi bengkelnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari bandar Kota Tinggi, terpaksa ditutup sementara selama dua minggu untuk kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih peralatan mesin yang telah rosak.

Sementara itu, Pemangku Ketua Zon 2 Johor, Timbalan Penguasa Bomba II Tahrin Saat berkata, pihaknya sentiasa dalam keadaan bersedia untuk menghadapi banjir, memandangkan cuaca di daerah ini masih lagi tidak menentu.

“Sekiranya perlu kita akan mengubah syif anggota kita 24 jam ataupun mungkin akan meminta bantuan bomba dari daerah lain untuk membantu.

“Kita nasihatkan kepada penduduk di daerah ini dan kawasan terjejas banjir supaya tidak mengambil risiko meredah arus banjir kerana kedalaman air dan kekuatan arus deras ketika banjir tidak dapat dijangka, sekali gus membahayakan nyawa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN