RM10 juta bantu beli keperluan mangsa banjir Johor - Utusan Malaysia

RM10 juta bantu beli keperluan mangsa banjir Johor

AHMAD ZAHID HAMIDI meninjau keadaan banjir di sekitar bandar Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan  sebanyak RM10 juta bagi membeli peralatan dan bantuan tambahan untuk membantu mangsa banjir di Johor.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan tersebut diberikan untuk menampung keperluan di semua daerah yang terjejas dan jumlah itu akan ditambah sekiranya tidak mencukupi. 

“Kita telah hantar bantuan RM10 juta setakat ini untuk (banjir) kali ini. Saya dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Kota Tinggi bahawa selimut, bantal, tilam tidak mencukupi.

“Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah beritahu pegawai daerah agar pembelian dilakukan segera dan pembayaran kepada jawatankuasa banjir daerah sebagai tindakan pantas Nadma bagi menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam sidang media selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota, di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang ditemani Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi meninjau keadaan banjir di sekitar bandar Kota Tinggi serta melawat mangsa di Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Usman Awang, di sini.

Setakat pukul 4 petang tadi, keadaan banjir di negeri ini semakin buruk apabila jumlah mangsa meningkat menjadi 28,099 orang melibatkan 7,805 keluarga dan kini ditempatkan di 197 PPS.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan menghubungi Kementerian Pembangunan Keluarga dan Wanita bagi menyelaras tugas pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu mangsa banjir di negeri ini ekoran kekurangan pegawai JKM yang ditempatkan di PPS.

“Begitu juga kekurangan pegawai JKM untuk di sekolah ini, bagi daerah Kota Tinggi kita dapati pegawai JKM telah bertungkus-lumus untuk bantu mangsa banjir.

“Saya akan hubungi Menteri Pembangunan Keluarga dan Wanita, di mana JKM berada di bawahnya untuk mobilisasikan pegawai JKM dari daerah lain dan negeri-negeri berdekatan untuk bantu rakan-rakan mereka di PPS dan daerah yang dilanda banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN