Rakyat Malaysia dijangka berpuasa esok

Rakyat Malaysia dijangka berpuasa esok

SEORANG pekerja membersihkan kubah Masjid Jamek Taman Pelangi di Johor Bahru semalam menjelang ketibaan bulan Ramadan. Umat Islam di negara ini dijangka mula berpuasa esok. –UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kira-kira 20 juta umat Islam di negara ini dijang­ka mula berpuasa Ra­madan esok.

Anak bulan di­jang­ka kelihatan pada petang hari cerapan hilal di seluruh negara hari ini.

Perkara berkenaan dimak­lum­kan oleh pakar falak ter­ke­nal tanah air, Datuk Dr. Azhari Mohamed yang juga antara ahli jawatankuasa fa­lak Wilayah Per­sekutuan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Azhari berkata, secara pengiraan, kesemua 29 lokasi akan memenuhi imkanur rukyah atau kriteria penampakan hilal terus dari lokasi pencerapan buat pertama kali selepas enam tahun.

“Berdasarkan hisab atau kaedah kiraan, saya berpendapat ada kemungkinan lima lokasi pencerapan akan dapat melihat anak bulan Ramadan esok (hari ini),” jelasnya ketika dihubungi semalam.

Sejumlah 29 lokasi diwartakan oleh pihak Majlis Raja-Raja untuk proses cerap anak bulan Ramadan petang ini untuk pe­netapan tarikh permulaan bulan puasa 1444 Hijrah.

Ia selaras dengan keputusan mesyuarat kali ke-92 pada 1972 lalu yang bersetuju supaya pengisytiharan 1 Ramadan di seluruh Malaysia berdasarkan rukyah atau cerapan hilal.

Malaysia juga menjadi antara beberapa negara di dunia yang mengamalkan penetapan tarikh Hijrah dengan turut sama menggunakan kaedah hisab atau pe­ngiraan sejak 1972.

Mengulas lanjut, Azhari yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia walau bagaimanapun enggan mendedahkan lima lokasi yang ‘bertuah’ tersebut.

Sebaliknya, beliau dalam nada optimis berkata, secara pengiraan, kesemua 29 lokasi akan memenuhi imkanur rukyah atau kriteria penampakan hilal terus dari lokasi pencerapan.

“Untuk titik paling barat di Malaysia iaitu Pulau Perak di Kedah, altitud atau ketinggian ketara bulan itu ketika proses matahari terbenam ialah lapan darjah 28 minit,” tambah beliau.

Sementara jarak lengkung pusat bulan ke pusat matahari pula ujarnya, dijangka sembilan darjah 17 minit dan ke­adaan tersebut sekali gus sudah mencukupi syarat imkanur rukyah.

Kriteria itu mula diguna pakai ketika penentuan tarikh 1 Muharam 1443 Hijrah pada 2021 yang menetapkan altitud tidak kurang tiga darjah dan lengkung lebih enam darjah 24 minit.

Sehubungan itu, Azhari berpendapat bahawa umat Islam di seluruh Malaysia akan dapat mula berpuasa fardu secara rasmi serentak pada 23 Mac nanti dan bukannya 24 Mac.

Kali terakhir penampakan anak bulan Ramadan ialah pada 2017 menerusi stesen pencerapan di Labuan dan sebelum itu pada 2012 yang juga berlaku di tempat sama.

Malahan, tahun lepas, lokasi ini mencipta sejarah apabila tanpa diduga berjaya mencerap hilal Syawal yang menyebabkan Hari Raya Aidilfitri ditetapkan pada keesokan harinya.

Situasi yang tidak dijangka banyak pihak itu turut mencetuskan suasana kelam kabut umat Islam melakukan persiapan ke­rana ramai menyangka perayaan tersebut disambut lusa.

Kejayaan Labuan dalam mencerap anak bulan juga me­nyaksikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan membina balai cerap baharu di Kampung Kiansam di barat daya pulau itu.

Mercu tanda baharu Labuan itu didirikan dalam kawasan dikenali sebagai Kompleks Darul Ifta’ yang turut mengandungi semua agensi hal ehwal agama Jabatan Perdana Menteri.

Pembinaan balai moden itu bagi menggantikan stesen cerapan lama sebelum ini di aras bumbung, Menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan sejak 2003.

Setakat ini Balai Cerap Teluk Kemang di Port Dickson, Negeri Sembilan merekodkan paling banyak penampakan hilal di Malaysia iaitu pada 1972, 1973, 1974, 1981 dan 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya