KOTA BHARU: Dewan Pemuda Pas negeri percaya rakyat bijak dalam membuat penilaian berhubung pandangan Tan Sri Abdul Hadi Awang mengatakan usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘dalam masa terdekat’ sesuatu yang dibolehkan kerana negara mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.
Ketuanya Mohamad Kamal Mohamed berkata, sekiranya pemimpin serta rakyat memahami sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan tidak timbul soal mengundang ketidaktenteraman politik.
“Politik ini seni, peluang dan suasana diambil demi kestabilan politik dan negara perlu diambil dengan mengikut perlembagaan.
“Keresahan dalam kerajaan minoriti ini bukan kerana pembangkang yang menimbulkan tapi ketidakpuasan itu timbul dari anggota parlimen kerajaan dan kakitangan kerajaan,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Abdul Hadi berpandangan usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘dalam masa terdekat’ sesuatu yang dibolehkan kerana negara mengamalkan sistem demokrasi berperlembagaan.
Ahli Parlimen Marang itu juga menegaskan, beliau tidak melangkaui titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan sebuah kerajaan stabil dan mengekalkan kerajaan pimpinan Anwar sehingga habis penggal kerana ia bukan sesuatu yang ‘mengikat’ dan menghalang perubahan.
Justeru, beliau mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa kerajaan Persekutuan ditadbir Anwar akan ‘tumbang dalam masa terdekat’ selain berhak merancang aktiviti untuk menjatuhkan kerajaan.
Sementara itu Mohamad Kamal memberitahu, Pas dan Perikatan Nasional (PN) akan tetap menjunjung perlembagaan dalam sebarang proses pertukaran kerajaan sekiranya perlu.
Katanya, Pas dan PN tidak sekali-kali membelakangi perlembagaan dalam setiap keputusan dan tindakan.-UTUSAN










