KUALA LUMPUR: Pengarah sensasi, Syamsul Yusof berharap isteri pertamanya, Puteri Sarah menerima poligami sekali gus meleraikan kemelut melanda rumah tangga mere empat tahun lalu.
Beliau juga berharap perbincangan secara bersemuka melalui Jawatankuasa Pendamai (JKP) di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) semalam namun tidak berlaku seperti yang dijangka.
“Saya mahu Sarah menerima poligami ini. Saya juga mahu berbincang mengenai giliran untuk bermalam bersama isteri-isteri. Kalau dia tidak mahu, saya tetap ingin berbincang.
“Saya sangka dapat bersemuka dengan dia tadi (Sarah) tapi proses JKP bukan sebegitu kerana dijalankan secara berasingan. Sebenarnya saya kecewa, namun hanya ikut proses mahkamah dan berharap dapat buat yang terbaik,” katanya.
Syamsul ditemui selepas proses JKP berlangsung hampir dua jam di pejabat Jawi, semalam. Puteri Sarah ditemani adik perempuannya semasa proses yang gagal mencapai perdamaian antara pasangan itu. Pada masa sama, Syamsul berkata, perceraian bukan jalan terbaik kerana banyak faktor lain yang perlu difikirkan.
“Orang selalu cakap kenapa saya enggan ceraikan dia. Pertama sekali, kami adalah pasangan suami isteri dan lebih tahu urusan rumah tangga dan hal dalam kain.
“Perceraian bukan perkara yang mudah untuk dilakukan. Hakikatnya ramai orang yang mengalami masalah besar selepas bercerai seperti tuntutan hak penjagaan anak, nafkah dan macam-macam lagi.
“Jadi sebab itulah saya nak sangat bertemu Sarah untuk berbincang dan menyelesaikan masalah ini dengan baik dan harmoni,” katanya.
Bagaimanapun, Syamsul memberitahu, dia akan mempertimbangkan permintaan Sarah untuk dilepaskan sekiranya wanita itu bersedia untuk bersemuka.- UTUSAN










