Polis lengkap kertas siasatan isu penyelewengan wang zakat MAINS - Utusan Malaysia

Polis lengkap kertas siasatan isu penyelewengan wang zakat MAINS

AHMAD Dzaffir Mohd. Yussof dalam sidang akhbar di IPK Negeri Sembilan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Zakat Sdn. Bhd. telah dilengkapkan oleh pihak polis selepas 11 individu diambil keterangan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihak polis sudah menghantar kertas siasatan itu ke Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) pada 2 Mac lalu.

“Kami menunggu arahan lanjut daripada pihak PPN kerana siasatan yang dijalankan juga adalah pandangan serta nasihat daripada PPN.

“Buat masa ini siasatan kekal di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan tetapi sekiranya didapati ada unsur lain kami akan serahkan kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, seramai 11 individu telah diambil keterangan iaitu termasuk kakitangan MAINS daripada pelbagai peringkat namun beliau enggan memperincikan individu yang telah dipanggil.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung siasatan yang sedang dilakukan. 

“Mereka yang didapati menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial juga boleh berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,”katanya. 

Sebelum ini media melaporkan, pada 8 Februari lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan berlaku salah laku dan rasuah dalam MAINS.

Kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan hasil siasatan berhubung isu dakwaan penyelewengan wang zakat melibatkan MAINS Zakat Sdn. Bhd. pada 2019 telah selesai dan tidak menemukan sebarang unsur kesalahan jenayah rasuah di bawah Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, Ahmad Dzaffir berkata, siasatan kes tersebut dibuka di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu melakukan pecah amanah dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan.

Selain itu, MAINS mengeluarkan kenyataan menafikan tohmahan dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial berkenaan salah guna wang zakat di Negeri Sembilan dan telah membuat beberapa laporan polis terhadap pemilik media sosial terbabit.

Sebelum ini, tular di media sosial dakwaan berlakunya penyelewengan pengurusan wang zakat di Negeri Sembilan.

Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim turut mengesahkan kes dakwaan penyelewengan wang zakat yang dikaitkan dengan MAINS dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya