JASIN: Siapa sangka tempoh menunggu air banjir surut di pusat pemindahan sementara (PPS) menjadi lubuk rezeki bagi mangsa banjir memancing ikan air tawar seperti puyu dan keli.
Kebanyakan mangsa banjir masih belum dapat pulang ke rumah masing-masing disebabkan air banjir belum surut menyebabkan mereka tidak mempunyai pilihan selain berlindung di PPS.
Seorang murid tahun enam, Muhammad Zafrul Hakim Zaimi, 12, berkata, ikan air tawar seperti puyu dan keli banyak berkeliaran dalam banjir termenung disebabkan kawasan sawah padi sekitar ditenggelami bah.
“Di kawasan ini memang dilanda banjir termenung setiap kali banjir. Kadang-kadang makan masa sehingga sebulan untuk tunggu air surut. Meskipun hujan sudah berhenti, kami tidak boleh kemas dan bersihkan rumah sebab lantai masih ditenggelami banjir.
“Memang bosan, sekadar cuba nasib ambil joran sebab dalam air termenung ini banyak ikan contohnya puyu dan keli berkeliaran. Bolehlah sambil mengisi masa lapang, cuba nasib mana tahu ada rezeki,” katanya ketika ditemui di hadapan rumahnya di Kampung Parit Senin di sini.
Seramai 55 mangsa banjir di daerah ini masih berlindung di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Penghulu berikutan fenomena banjir termenung yang melanda rumah mereka belum surut, setakat pukul 12 tengah hari, semalam.
Dalam pada itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt. Kol. (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, masih terdapat 13 kawasan terjejas di sekitar Jasin antaranya Kampung Sungai Dua Asahan, Kampung Pondok Batang, Kampung Bukit Asahan, Kampung Chohong dan Sempang Bekoh.
“Terdapat 55 mangsa terdiri daripada 13 keluarga sedang berlindung di PPS SK Parit Penghulu. Sebanyak empat PPS telah ditutup Ahad lalu iaitu SK Sungai Rambai, SK Batu Gajah, SK Seri Mendapat dan SK Parit Gantong,” katanya. – UTUSAN










