Pemandu e-hailing sasaran sindiket wang palsu - Utusan Malaysia

Pemandu e-hailing sasaran sindiket wang palsu

Raub Selamat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Orang ramai, khususnya pemandu e-hailing supaya lebih peka dan berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa sindiket wang palsu.

Ini kerana polis mengesan sindiket wang palsu yang dilaporkan aktif beroperasi sejak bulan lalu dengan menyasarkan golongan pemandu e-hailing.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, sindiket itu menggunakan duit kertas RM100 bagi membayar tambang perkhidmatan e-hailing secara tunai.

“Modus operandi yang digunakan oleh penjenayah adalah dengan memesan secara dalam talian perkhidmatan e-hailing untuk menghantar mereka ke sesuatu lokasi tanpa membuat pembayaran melalui perbankan dalam talian. 

“Apabila sampai ke destinasi yang ditetapkan, penjenayah akan menyerahkan wang kertas palsu RM100 kepada pemandu e-hailing dan akan memperoleh baki wang tunai sebenar daripada mangsa. 

“Mangsa hanya akan menyedari wang tersebut merupakan wang palsu apabila berurusan dengan pihak bank seperti memasukkan wang palsu tersebut ke mesin ATM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Raub berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan telah membuka sebanyak lima kertas siasatan berkaitan kes penipuan itu.

“Orang ramai dinasihatkan terutamanya pemandu e-hailing supaya berhati-hati apabila menerima sebarang bayaran daripada penumpang supaya membuat semakan terlebih dahulu wang yang diterima seperti kualiti kertas, corak dan tulisan pada wang tersebut.

“Sekiranya bentuk wang tersebut mencurigakan, hendaklah segera tampil ke balai polis berhampiran membuat laporan agar sindiket wang palsu ini dapat dibanteras dengan segera.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 489 B Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya