JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menghantar pam air ke Batu Pahat untuk menangani isu banjir termenung yang menyebabkan jumlah mangsa di daerah itu terus meningkat ketika ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya juga sedang mendapatkan bantuan pam air daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri-negeri lain yang tidak terjejas banjir.
“Rata-rata situasi banjir di negeri ini telah mula surut, tetapi yang menjadi cabaran adalah di Batu Pahat. Di sana angka belum menurun dan ada beberapa PPS (pusat pemindahan sementara) yang baharu dibuka hari ini.
“Oleh itu, kita adakan Jawatankuasa Penyelarasan khusus untuk Batu Pahat, ini untuk menyusun gerak kerja melibatkan pelbagai aspek, termasuk logistik untuk mengatasi situasi banjir termenung di daerah itu.
“Dengan mengambil kira faktor air pasang dalam beberapa hari ini, sukar untuk air keluar. Jadi, pam air telah digerakkan ke seluruh kawasan Batu Pahat untuk keluarkan air dari kawasan terlibat banjir,” katanya selepas melancarkan Festival Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), di sini hari ini.
Sejak banjir melanda negeri ini mulai 1 Mac lalu, beberapa unit pam air bergerak telah digunakan untuk mengeluarkan air di kawasan banjir termenung, antaranya di Pintu Air Parit Jambul dan Taman Botani Sri Medan di Batu Pahat.
Gingga pukul 4 petang ini, jumlah mangsa banjir di Johor seramai 44,089 orang yang ditempatkan di 173 PPS dengan majoriti daripadanya adalah di Batu Pahat, melibatkan 37,563 mangsa di 112 PPS.
Onn Hafiz turut memberitahu, pihaknya telah menyerahkan surat permohonan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang bantuan yang diperlukan negeri ini termasuk melibatkan kerosakan akibat banjir.
“Bencana banjir kali ini menyebabkan beberapa kerosakan infrastruktur termasuk jalan, tanaman, permukaan lantai dan sebagainya. Jumlah sebenar kerugian kita sedang perhalusi tetapi angka awal telah diserahkan kepada Perdana Menteri.
“Setakat ini, kerugian masih belum mencecah ratusan juta, tetapi jika mengamalkan kira pelaksanaan projek tebatan banjir, kosnya dijangka akan mencecah bilion ringgit. Kita doakan perkara ini mendapat pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan persekutuan kerana melibatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat,” katanya. – UTUSAN